Ahad, 2 Ogos 2015

Tindakan perlu diambil melalui saluran yang betul - Hishamuddin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
BATU CAVES: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sebarang tindakan disiplin perlulah melalui saluran yang betul. 
 
Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang menyuarakan kemungkinan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dikenakan tindakan itu selepas 'pendedahan' isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Malah Menteri Pertahanan itu juga menyifatkan kenyataan Aziz itu sebagai pandangan peribadi semata-mata dan tidak menggambarkan pandangan semua ahli MT.
 
"Itu pandangan peribadi dia (Kaprawi). Itu tidak menggambarkan pandangan saya dan ahli MT yang lain. Itu juga mungkin bukan pandangan Lembaga Disiplin.
 
"Kita ada saluran yang betul, kalau Lembaga Disiplin nak ambil tindakan sekalipun, mestilah kena melalui saluran yang betul," ujar Hishammuddin pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu di Kompleks Darul Kifayah di sini, hari ini.
 
Tambah Hishammuddin, berkemungkinan Jawatankuasa Disiplin tidak akan terikat kepada pandangan MT.
 
"Mungkin (Jawatankuasa Disiplin) ada pandangan yang lain. Kita serahlah kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab," ujar Hishammuddin.
 
Terdahulu, Aziz berkata Muhyiddin berkemungkinan berhadapan dengan tindakan disiplin selepas tersebarnya video yang mendedahkan kenyataannya mengenai pemindahan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
 
"Dia reveal maklumat tidak sahih kepada pembangkang. Ia berlaku dalam rumah dia. Seolah diatur kecuali ia berlaku luar rumah," petik kata Aziz. 
 
Sementara itu Hishamuddin yang ditanya berkenaan pandangan peribadi beliau terhadap kenyataan Muhyiddin dalam video berkenaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
 
"Saya (sebahagian) ahli (Jawatankuasa) Pengurusan, dan biarlah saya bincang dengan (Jawatankuasa) Pengurusan," ujarnya ringkas.
 
Terbaru, video pendek berdurasi 57 saat yang dimuat naik di portal berita Malaysiakini menunjukkan, Muhyiddin sedang berbual dengan beberapa tetamu antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir di kediamannya selepas digugurkan dari Kabinet, Selasa lalu.
 
Dalam perbualan mereka itu, Muhyiddin dilaporkan menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengakui kepadanya bahawa terdapat sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun peribadinya.