Rabu, 5 Ogos 2015

Tahap hutang negara makin parah, kata DAP

Sivakumar-DAP

Roketkini.com


IPOH,: Di sebalik skandal 1MDB, rakyat Malaysia akan terus menderita tekanan ekonomi akibat hutang negara yang sudah mencecah RM600 bilion.

Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan, V. Sivakumar, berkata perangkaan Kementerian Kewangan menunjukkan hutang kerajaan Malaysia sehingga akhir Mac lalu adalah sebanyak RM596.8 billion.

Katanya, jumlah itu merupakan 51% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan 97% daripada jumlah hutang negara itu, iaitu RM 579.2 bilion, adalah daripada hutang domestik.

Manakala bakinya sebanyak RM17.6 bilion adalah merupakan pinjaman dari luar negara, ujar beliau.

“Hutang negara telah meningkat berlipat ganda di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional semakin lemah menguruskan dana negara, seterusnya menyebabkan beban hutang negara semakin meningkat.

“Hutang yang berlebihan ini melemahkan ekonomi negara. Akhirnya, beban hutang ini dipindahkan kepada rakyat dengan pengenaan cukai baru GST.

“Kerajaan harus mengakui kelemahan dasar fiskal pengurusan kewangan yang menyebabkan ekonomi negara kita semakin merudum. Akibatnya, rakyat terpaksa menanggung hutang negara yang akan mencapai 55% daripada KDNK tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak merangkap Ahli Parlimen Batu Gajah berkata, walaupun kerajaan menjanjikan paras hutang negara tidak akan melebihi 55% daripada KDNK, dalam keadaan pengurusan ekonomi yang tidak terurus, mungkin hutang akan terus meningkat dan melonjak lebih daripada paras itu.

“Saya juga tidak yakin langkah konsolidasi fiskal yang diamalkan sekarang akan berjaya mengurangkan paras defisit,” tambah beliau.

Menurutnya, kerajaan BN tidak mempunyai kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal.

Katanya, berlaku terlalu banyak bocoran, ketirisan dan rasuah yang melemahkan pengurusan kewangan negara.

“Dalam pada itu, kerajaan sentiasa menafikan bahawa kita sedang dilanda krisis kewangan,” tambah beliau.

Sivakumar menjelaskan, tindakan  kerajaan memindahkan beban kewangannya kepada rakyat  menyebabkan taraf sosioekonomi tergugat, terutamanya di kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut beliau, sebahagian besar daripada hutang Kerajaan Persekutuan meliputi bon kerajaan yang diterbitkan di pasaran domestik, iaitu 72.4% daripadanya dipegang oleh pelabur institusi utama seperti KWSP (21.3%), Institusi perbankan tempatan (26.0%) dan pelbagai institusi lain (21.2%).

Selebihnya, 27.6%  lagi dipegang oleh pemegang bukan pemastautin, tambah beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: