Selasa, 4 Ogos 2015

SYUKURLAH, DALAM DIAM2 LAHIR BILIONWAN MELAYU KEBANGGAAN MALAYSIA!!

shahbudindotcom

 
 
Terang lagi nyata. Apa yang menjadi persoalan selama ini terjawab sudah akhirnya.

SPRM akhirnya mengesahkan wang sebanyak RM2.6 bilion atau  RM2,600 juta yang didakwa mengalir masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Najib Razak sebagaimana yang didakwa oleh The Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini,  benar-benar wujud dan sahih rupanya.

Cuma menurut SPRM, wang itu bukannya daripada 1MDB tetapi daripada sumbangan penderma.

Siapakah agaknya penderma  yang begitu murah hati itu? Adakah ia penderma tunggal atau ramai jumlahnya?
 
Apakah penderma itu melibatkan negara asing, pemimpin luar, ahli perniagaan antarabangsa atau rakan-rakan Najib dari dalam dan luar negara?

Apa pula tujuan mereka menderma dan memberi sumbangan? Suka-suka atau mengharapkan balasan?

Jika ada balasannya, apakah yang telah diberikan Najib kepada mereka?

Benarkah sumbangan itu untuk tabung amanah parti? Jika untuk tabunh parti, kenapa guna akaun bank peribadi?

Ahhh...sebenarnya banyak lagi persoalan yang boleh ditanyakan kepada Najib mengenai wang tersebut.  Tetapi eloklah dilupakan segala tanda tanya itu.

Lupakanlah juga pasukan petugas khas, laporan audit atau siasatan PAC sekali pun. Lebih patut dilupakan ialah untuk mengaitkan wang itu dengan rasuah, penggubahan wang haram dan sebagainya.

Sebaliknya, berita yang disahkan oleh SPRM ini seharusnya membuatkan kita bersyukur dengannya.

Sebagaimana yang dijangka, berikutan berubahnya trend sejak  akhir-akhir ini, dengan pada mulanya mengatakan  wang RM2.6 bilion itu sebagai fitnah, konspirasi dan akhirnya sebagai sumbangan tabung amanah, yang nyata kewujudan wang itu adalah benar belaka.

Rupa-rupanya The Wall Street Journal dan Sarawak Report tidak berbohong kepada kita, walaupun mereka bukan beragama Islam dan dikaitkan dengan Yahudi pula.

Pengesahan SPRM mengenai wang RM2.6 bilion itu memang berada dalam akaun Najib sebaiknya haruslah menyebabkan kita berbangga kerana dalam suasana ekonomi dunia yang suram, rupa-rupanya lahir seorang bilionaire atau bilionwan atau orang yang mampu mengumpul wang beribu-ribu juta di kalangan Melayu dan Islam secara senyap-senyap dan tanpa bising-bising menagih kontrak atau mengharapkan bantuan kerajaan.

Wahh...sudah tentu ini merupakan satu lagi pencapaian Dasar Ekonomi Baru serta tambah mengukuhkan ekonomi orang Melayu dan Islam di negara kita. Bertambah lagi jumlah bilionwan dalam negara kita ini.

Maka, kita haruslah menerima dengan syukur,  bukan hasad dengki dan caci maki atas pencapaian Najib itu.

Cumanya, terlanjur berbangga dengan pencapaian Najib itu, ingin juga ditanyakan mengenai laporan yang tidak dinafikan mengenai pendepositan sebanyak RM2 juta dalam tempoh tidak sampai tiga bulan ke dalam akaun Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri tidak lama selepas pendedahan mengenai wang RM2.6 bilion itu.

Adakah ianya juga merupakan sumbangan penderma yang bermurah hati terhadap Rosmah? 

Bagaimanapun oleh kerana jumlahnya hanya juta-juta, bukan bilion-bilion seperti yang diterima suaminya, tak perlulah ditanya macam-macam seperti daripada mana dan siapa yang memberikan wang itu.

Syukurlah, dengan isu ini sudah terjawab dan sekaligus memberi kelegaan kepada kita semua, diharapkan lebih banyak lagi sumbangan derma diterima oleh Najib dan Rosmah selepas ini.

Lebih 50 tahun merdeka tidak pernah kita mempunyai pasangan Perdana Menteri dan isteri yang begitu dirahmati seperti ini sehingga sumbangan derma juga ribu-ribu juta mampu dikautnya.

Bukankah lagi banyak derma yang diterima mereka, lagi makmur dan sejahtera negara kita? 

Tiada ulasan: