Rabu, 19 Ogos 2015

Surat untuk penyokong UMNO

penyokong umno kedah bawa anak kecil ori

Oleh Iskandar Fareez

Saudara dan saudari,

Dalam kalangan rakan-rakan saya ada penyokong daripada banyak parti politik baik UMNO, PKR, PAS, DAP dan lain-lain. Satu-satunya titik persamaan antara kesemua penyokong-penyokong pelbagai parti ini adalah bagaimana kita semua mahukan yang terbaik buat Malaysia, negara yang kita cintai. Walaupun caranya berbeza, matlamatnya tetap sama.

Sebagai negara berdemokrasi, parti-parti tersebut akan bersaing sesama sendiri dengan mempersembahkan ideologi dan dasar yang mereka fikirkan dapat memberikan manfaat kepada rakyat. Rakyat pula akan memberi undi kepada parti yang paling serasi dengan mereka. Parti yang memiliki majoriti akan seterusnya membentuk kerajaan.

Sebagai konvensyen, parti majoriti akan melantik presidennya sebagai Perdana Menteri negara. Begitulah aturannya di Malaysia, dengan adanya sistem demokrasi, rakyat mengharapkan wujudnya mekanisme semak dan imbang yang dapat memastikan kerajaan sentiasa mengutamakan keperluan rakyat. Apabila seorang Perdana Menteri mula menyeleweng maka sepatutnya beliau diganti dengan seseorang yang lebih berkelayakan.

Saban hari sejak tercetusnya skandal 1MDB, kita lihat Perdana Menteri Najib Razak masih kekal memegang tampuk kuasa walaupun persoalan demi persoalan timbul berkaitan penglibatan beliau dalam skandal tersebut. Bagi yang belum sedar, walaupun dalam teorinya kita boleh ganti seorang Perdana Menteri jika beliau disyaki terlibat dalam penyelewengan, dari segi realitinya amatlah sukar untuk membawa beliau ke muka pengadilan.

Setelah hampir dua dekad berkuasa, mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah berjaya mengukuhkan kuasanya dan menyatukan semua kuasa dan tanggungjawab dibawah jawatan Perdana Menteri. Malah, tidah salah untuk kita mengatakan bahawa akibat daripada perubahan tersebut, sesiapa yang memegang jawatan tersebut merupakan individu paling berkuasa di Malaysia.

Perkara ini dibuktikan menerusi beberapa insiden yang berlaku ketika siasatan skandal 1MDB masih sedang dijalankan. Peguam Negara tiba-tiba ditukar atas alasan kesihatan. Dua orang menteri yang kerap kali bersuara berkenaan 1MDB tiba-tiba digugurkan. Beberapa Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tiba-tiba diserap masuk barisan kabinet baru seterusnya menyebabkan penangguhan dalam siasatan oleh jawatankuasa tersebut. Dua pegawai SPRM yang bertanggungjawab atas siasatan syarikat SRC International yang dilapor mendepositkan RM42 juta ke akaun persendirian Perdana Menteri Najib Razak tiba-tiba ditukar ke Jabatan Perdana Menteri. Selain itu beberapa pegawai SPRM juga turut ditangkap untuk membantu siasatan berkenaan dokumen-dokumen yang mungkin telah terbocor.

Apa yang terjadi sekarang ialah pihak penyiasat telah menjadi pihak yang disiasat. Sementara itu Perdana Menteri Najib Razak masih lagi tidak disiasat ataupun disoal malah masih memegang kuasa sebagai Perdana Menteri, justeru, membolehkan beliau untuk mempengaruhi setiap aspek siasatan skandal ini. Najib perintah pihak berkuasa untuk siasat. Mereka lapor balik kepada Najib. Kemudian Najib sendiri yang isytiharkan diri sendiri tidak bersalah. Lawak jenaka apakah ini?
Saudara serta saudari,

Ternyata insititusi kita sedang dilanda barah yang padah. Sekarang presiden anda pula mengatakan disebabkan ahli UMNO telah menerima manfaat daripada dana yang beliau terima maka ahli UMNO seharusnya mempertahankan beliau daripada segala kritikan.

Saya yakin, seperti rakan-rakan saya juga, anda mahukan yang terbaik untuk negara. Persoalannya, adakah anda sanggup melihat parti anda, UMNO, dan negara lingkup hanya kerana hendak mempertahankan seorang individu? Tentunya tidak. Jadi bagaimanakah anda sebagai penyokong dapat memainkan peranan?

Di sini saya hendak meminjam kata-kata Najib sendiri bahawa beliau bukanlah Presiden parti yang mahukan pemimpin dan ahli UMNO menjadi ‘Yes Men’. Sahutlah cabaran ini dan persoal setiap tindak tanduk pemimpin parti anda. Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan segelintir pemimpin dan ahli di negeri Johor sudah mula bersuara. Khairy Jamaluddin, walaupun pada mulanya cuba untuk mempertahankan Najib, juga sudah mula melontarkan persoalan-persoalan berkenaan kepincangan yang sedang berlaku.

Ahli UMNO lain bagaimana? Sudah serik jadi ‘Yes Men’ atau dana yang diberi sudah cukup untuk tutup mata dan mulut anda? – Roketkini

Tiada ulasan: