Rabu, 5 Ogos 2015

SPRM sahkan derma RM2.6b dari Timur Tengah

SINAR HARIAN


SPRM
SPRM
 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri ialah sumbangan dari penderma Timur Tengah.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata: "SPRM telah memperoleh penjelasan daripada pihak penderma tentang derma yang diberi kepada Perdana Menteri.

"SPRM telah mendapat tahu tentang butir penderma melalui dokumen yang diambil dari bank dan didapati bahawa terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri."

Menurut kenyataan itu, dokumen berkenaan menjelaskan sumbangan RM2.6 bilion itu adalah sebagai derma.

Katanya Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta untuk memberi penjelasan kepada SPRM mengenai derma yang diterima beliau.

Dalam kenyataan itu, SPRM menegaskan siasatannya tiada kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad. Sebaliknya siasatan keseluruhan kes 1MDB dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia.

SPRM juga mengulangi ia masih menjalankan siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion.

Ia berkata siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International merupakan "dua perkara yang berbeza".

"Oleh itu, SPRM mahu menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes yang disiasat ini telah ditutup. Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB," kata kenyataan itu.

Katanya SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional serta meminta semua pihak memberi ruang dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh tanpa membuat sebarang spekulasi.

"Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa 'fear or favour' (takut atau pilih kasih).

"SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan," kata kenyataan itu. - Bernama

 

Tiada ulasan: