Jumaat, 28 Ogos 2015

SKMM sekat laman web Bersih sebelum perhimpunan



Ramai pengguna tidak dapat mengakses lamana web Bersih sejak semalam selepas kenyataan dari SKMM mengatakan akan menyekat laman rasmi tersebut kerana boleh mengundang ketidakstabilan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Ogos, 2015. 
Ramai pengguna tidak dapat mengakses lamana web Bersih sejak semalam selepas kenyataan dari SKMM mengatakan akan menyekat laman rasmi tersebut kerana boleh mengundang ketidakstabilan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman web rasmi kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0, menjelang demonstrasi besar-besaran yang dianjurkannya esok.

Ramai pengguna di Malaysia tidak dapat mengakses laman web Bersih sejak malam tadi sambil pada masa sama, pihaknya mengatakan mereka sedang cuba "menyelesaikan masalah".

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, tindakan menyekat laman web oleh pengawal selia Internet itu tidak boleh diterima dan menggambarkan kegagalan SKMM.

"Menyekat laman web Bersih adalah jelas satu pencabulan, bukan hanya terhadap Bersih tetapi setiap rakyat Malaysia yang mahukan akses kepada maklumat daripada laman web kami. "Ini terutamanya kerana kita ada satu perhimpunan besar esok. Rakyat berhak mendapat maklumat," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tindakan ini diambil selepas SKMM berkata semalam, ia akan menyekat laman web yang mempromosikan dan menyebarkan maklumat mengenai perhimpunan Bersih 4 hujung minggu ini.

Beberapa hari sebelum itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, SKMM tidak mempunyai pelan untuk menyekat laman web yang berkaitan dengan Bersih 4.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan Bersih 4 adalah "haram" dan SKMM berkata, berdasarkan kenyataan kementerian itu, Bersih dianggap "mencemar imej negara".

Maria berkata, SKMM bertindak melampaui tanggungjawabnya, yang katanya, adalah untuk "menggalakkan aliran maklumat yang wajar".

"Tetapi ia kini melakukan sebaliknya. Apa yang salah tentang maklumat di laman web kami?"

Sebelum ini, SKMM menyekat laman web Sarawak Report berikutan siri pendedahan yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad.

Bagaimanapun, sekatan itu dapat dielakkan menggunakan pelayan proksi, dan pembaca Sarawak Report masih dapat mengaksesnya. 
 
 

Tiada ulasan: