Isnin, 3 Ogos 2015

Siasat demo bawah Kanun Keseksaan menyalahi undang-undang

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surrendren meminta kerajaan mengotakan janjinya untuk tidak menyalahgunakan seksyen 124 kanun Keseksaan bagi tujuan politik.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Polis Negara yang ingin menyiasat Datuk Ambiga Sreenevasan di bawah seksyen tersebut kerana mengajak orang ramai berhimpun bagi menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan.

N_Surendran“Apa-apa penyiasatan terhadap Ambiga di bawah seksyen 124, yang semata-mata untuk menyeru protes aman, akan menyalahi undang-undang, tidak mengikut perlembagaan dan penyalahgunaan kuasa polis.

“Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan membolehkan orang ramai hak untuk bantahan secara aman,” katanya pada kenyataan media.

Surrendren yang juga seorang peguam berkata, parlimen telah mengiktiraf hak membantah dengan meluluskan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang bertujuan untuk memudahkan sesuatu perhimpunan.

Katanya juga, memanggil atau menganjurkan bantahan aman tidak menjadi suatu kesalahan di bawah seksyen 124 Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang Malaysia yang lain.

Tambahnya lagi, pada 17 April 2012, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz juga berjanji kepada Dewan Rakyat bahawa seksyen 124 Kanun Keseksaan tidak akan digunakan untuk tujuan politik.

“Kami menyeru kerajaan dan polis untuk menghormati demokrasi dan hak-hak perlembagaan rakyat, dengan tidak menghalang protes damai atau mengganggu orang-orang yang meminta atau menganjurkan acara tersebut,” katanya.

Polis akan menyiasat Datuk S Ambiga selepas dikatakan membuat kenyataan berhubung kemungkinan protes jalanan jika anggota parlimen tidak bertindak untuk menggantung pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: