Rabu, 19 Ogos 2015

RM11 bilion pelaburan asing dibawa keluar kerana ketidakstabilan politik

Dia mendakwa pelabur tidak yakin dengan kepemimpinan negara kerana wujudnya campur tangan dalam siasatan untuk menegakkan keadilan.


Nurul-Izzah-Anwar,-economy


PETALING JAYA : Sekurang-kurangnya RM11 bilion nilai pelaburan asing telah dibawa keluar dari negara ini pada minggu lalu ekoran ketidakstabilan politik dan ekonomi.

Dakwaan itu dibuat oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Katanya, pelabur asing telah membawa keluar pelaburan kerana kurangnya keyakinan terhadap kepimpinan negara yang ada pada hari ini.

Katanya, ketidakyakinan pelabur asing itu disebabkan wujudnya dakwaan campur tangan pemimpin negara terhadap siasatan oleh pihak berkuasa.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mendakwa, kenyataan Pengarah Komunikasi Strategi Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam temubual bersama sebuah akhbar baru-baru ini telah menimbulkan lagi banyak persoalan tentang wujudnya kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri.

“Halangan berterusan berkenaan keadilan ini seharusnya dihentikan. Suatu penyiasatan segera atas halangan dan gangguan yang timbul terhadap kertas pertuduhan hendaklah dimulakan,” katanya dalam kenyataan.

Nurul Izzah mendakwa, kontroversi politik yang berterusan seperti pemecatan Peguam Negara, Tan Sri Abd Gani Patail dan tekanan terhadap pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuatkan pelabur asing tidak yakin untuk terus melabur di negara ini.

Tiada ulasan: