Khamis, 27 Ogos 2015

Pura-pura beli akhbar rupanya curi tabung derma

Shafien Mamat
Shafien 
 
 
SHAH ALAM - Tiga penganggur berjaya ditangkap orang awam kerana mencuri tabung derma yang diletakkan di atas kaunter sebuah kedai runcit di Seksyen 18, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 6.55 petang itu, seorang lelaki datang ke kedai tersebut berpura-pura ingin membeli surat khabar.

Tanpa mengesyaki sebarang perkara tidak diingini, pemilik kedai berkenaan yang sibuk melayan pelanggan lain, terlihat lelaki berkenaan menyembunyikan tabung derma yang terletak di atas meja kaunter di sebalik surat khabar dan melarikannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pemilik kedai berkenaan kemudiannya cuba mengejar lelaki tersebut.

Bagaimanapun katanya, lelaki itu terus melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna hitam.

“Namun, beberapa pelanggan yang berada di restoran berhampiran telah melihat kejadian terbabit dan mengejar suspek.

“Beberapa minit kemudian, pemilik kedai tersebut dimaklumkan bahawa orang awam berjaya menangkap suspek di stesen komuter Seksyen 19, Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, pemilik kedai berkenaan ke lokasi tersebut dan melihat suspek berjaya ditangkap bersama dua lagi rakannya.

Katanya, tabung derma yang mengandungi wang tunai RM489 juga berjaya ditemui semula di dalam kereta suspek.

“Kesemua suspek berusia 31 hingga 40 tahun kemudian diserahkan kepada polis peronda untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian air kencing mengesahkan kesemua suspek positif dadah. Mereka direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.


Tiada ulasan: