Selasa, 25 Ogos 2015

Polis tidak faham istilah demokrasi – Pakar akademik

 
Perhimpunan aman Bersih 4.0 sama sekali tidak menggugat demokrasi berperlembagaan atau mengancam keselamatan negara.


bersih-4


PETALING JAYA: Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM), Azmi Sharom mengkritik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membuat kenyataan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Katanya, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh polis menunjukkan pasukan keselamatan itu tidak memahami istilah sebenar demokrasi berperlembagaan.

Katanya, perhimpunan aman Bersih 4.0 sama sekali tidak menggugat demokrasi berperlembagaan atau mengancam keselamatan negara.

“Polis tak faham makna demokrasi. Perhimpunan aman dibenarkan selagi tidak membabitkan senjata yang boleh menggugat keselamatan awam.

“Kita mengadakan perhimpunan aman untuk menyuarakan kekhuatiran kepada masa depan negara dan rakyat. Itulah maknanya demokrasi.

“Bagaimana polis boleh mengatakan perhimpunan aman boleh mengancam demokrasi? Seksyen 124 Kanun Keseksaan itu untuk kesalahan melakukan keganasan bukan protes secara aman,” tegasnya.

Azmi diminta mengulas amaran Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Mohd Isa yang menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati membuat kenyataan atau komen mengenai perhimpunan Bersih 4.0 yang dirancang hujung minggu ini.

Tajuddin berkata, polis sedang mengawasi dan memantau secara dekat kenyataan dan komen yang dibuat untuk memastikan tidak menggugat demokrasi berpelembagaan.

“Kita akan pantau dan akan siasat kenyataan-kenyataan mengikut Seksyen 124,” katanya dalam sidang media di DBKL.

Tiada ulasan: