Rabu, 5 Ogos 2015

Petani protes berniaga depan SUK Perak

Petani protes berniaga depan SUK Perak
Keadaan bahagian luar bangunan SUK yang dipenuhi kumpulan petani-petani dari 24 kawasan sekitar Perak.
 
 
IPOH - Lebih 200 petani berkumpul di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK) bagi mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menetapkan satu tarikh perjumpaan dengan petani dalam tempoh terdekat.

Masalah timbul apabila petani-petani terbabit mendakwa mereka diusir daripada tanah yang diusahakan mereka lebih 50 tahun oleh Perbadanan Menteri Besar, kerajaan negeri, syarikat swasta dan pejabat tanah ingin membangunkan kawasan berkenaan.

Penyelaras Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Negeri Perak, K Kunasekaran berkata, wakil petani dari 24 kawasan di sekitar Kampar, Bidor, Tapah, Ampang, Batu Gajah dan Tronoh sudah lapan kali menghantar memorandum sejak 2013 namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.

Malah menurutnya, Pejabat Perdana Menteri telah menghantar surat kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar supaya mengadakan 'engagement' mengenai perkara tersebut.

Beliau mendakwa nilai hasil pengeluaran pertanian dan perikanan di kawasan tersebut dianggarkan sebanyak RM30 juta setahun bagi keperluan tempatan serta untuk dieksport ke luar negara.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati petani-petani terbabit berkumpul seawal jam 8 pagi membawa pelbagai jenis sayur-sayuran dan ikan di luar bangunan tersebut.

Selain itu, mereka turut memegang sepanduk dan kain rentang menyatakan tanda protes serta meminta supaya Menteri Besar turun bertemu mereka.

Turut kelihatan beberapa pemimpin PR berada di kawasan itu antaranya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Chang Lih Kang dan Tan Kar Hing.

Difahamkan mereka tidak akan berganjak dari luar bangunan SUK selagi Zambry tidak bertemu petani-petani terbabit.
 
 

Tiada ulasan: