Rabu, 12 Ogos 2015

Penceramah bebas tampil beri penjelasan namun tidak sentuh isu 'DNA lembu'

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Personaliti agama, Fatimah Syarha, yang menjadi 'sasaran' ekoran kenyataan berhubung penggunaan susu lembu menyebabkan bayi membesar menjadi pemarah, tampil memberi penjelasan bagi menyokong hujah beliau yang telah membangkitkan kemarahan orang ramai. 
 
Dalam entri bertajuk 'Susu Yang Berkat MasyaAllah' di blog beliau, Fatimah mengemukakan fakta berhubung perbezaan di antara susu ibu dengan susu lembu/susu formula, membandingkan khasiat masing-masing dengan keperluan bayi manusia.
 
"Islam memang menggalakkan kita memilih makanan yang baik-baik. Susu lembu, kambing, unta dan seumpamanya baik untuk kita yang dewasa ni, maka minumlah. 
 
"Susu formula 'kurang baik' untuk bayi, usahlah dipilih. Antara hikmahnya, ia akan membentuk satu keperibadian yang suka pada perkara baik-baik. Bahkan Nabi kita Muhammad SAW menyediakan minda kita dalam satu hadis sahih, jika kamu minta syurga mintalah syurga Firdaus. 
 
"Nabi mahukan umatnya yang moderate (sederhana) ini sentiasa jadi 'the best ummah'. Sentiasa pilih yang terbaik," tulisnya dalam blog.
 
Bagaimanapun, dalam entri tersebut, Fatimah langsung tidak menyentuh atau menjelaskan kenyataan beliau sebelum ini yang menyebut mengenai DNA lembu yang memasuki badan bayi menerusi susu formula.  
 
Terdahulu dalam rancangan Fiqh Wanita terbitan TV3 Jumaat lalu, Fatimah mendakwa ibu yang memberikan susu lembu akan menjadikan bayi mereka mewarisi sikap lembu membesar menjadi seorang yang pemarah.
 
"Kalau kita bagi susu lembu, maka DNA lembu akan masuk ke dalam badan bayi.
 
"Jadi ia akan mempengaruhi akhlak bayi. Mungkin bayi akan membesar menjadi orang yang pemarah sebab lembu ini cepat marah," katanya berdasarkan sari kata rancangan itu yang viral di Internet dan mencetuskan perdebatan hangat di kalangan netizen.
 
Fatimah dalam penjelasannya di blog beliau hanya menerangkan mengenai hikmah pengambilan sesuatu makanan yang akan memberi kesan kepada karakter seseorang.   
 
"Saya menyetujui pandangan guru-guru masyarakat bertauliah itu kerana antara hikmah yang saya percaya, tatkala kita memilih makanan yang baik ia memberi kesan kepada kesihatan dan keperibadian yang baik. 
 
"Jika ada pihak menolak bahawa makanan yang baik ada kesannya kepada keperibadian yang baik, itu hak mereka. Jika ada pihak sukar menerima pendapat bahawa makanan yang kurang baik, ada kesannya kepada keperibadian, itu juga hak mereka. 
 
"Saya hormati. Buat masa ini, pendapat saya berkenaan hal itu belum berubah sehinggalah saya dibentangkan hujah yang lebih meyakinkan," katanya.
 
Manakala di laman komen di bawah entri berkenaan, terdapat netizen yang turut menuntut penjelasan Fatimah mengenai kenyataan beliau berhubung DNA lembu yang langsung tidak disentuh dalam penjelasan berkenaan. 
 
Fatimah dalam pada itu turut menjelaskan bahawa masa program tersebut yang agak terbatas menyukarkan beliau memberi penerangan lengkap dalam masa yang ditetapkan.
 
"Cuba duduk di tempat saya dan bayangkan anda perlu menerangkan segala maklumat panjang lebar ini dalam suasana santai berdurasi 30 minit tidak campur iklan, sms dan sebagainya. Inipun, ada banyak soalan lagi yang tidak dilampirkan di sini," katanya. 
 
"Saya mohon maaf zahir batin andai masih ada yang salah di mata sesiapa. Saya akui, saya cuma manusia biasa. Berpotensi untuk betul atau salah bila-bila masa sahaja. Ambillah mana yang baik. Ia datang dari Allah. Mana yang buruk, tapislah dan timbanglah baru dibuang. Yang buruk itu datang dari kelemahan diri saya sendiri," tulis Fatimah.
 
Bagaimanapun melalui posting di laman sosial Facebooknya, Fatimah dilihat menyatakan permohonan maaf namun masih mengharapkan pandangan-pandangan bernas untuk memperbetulkan pendapatnya berhubung perkara itu.
 
 

Tiada ulasan: