Rabu, 5 Ogos 2015

Pasukan petugas khas 1MDB bubar, kata SPRM



Oleh The Malaysia Insider


Pasukan Petugas Khas peringkat tinggi kerajaan yang menyiasat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini dibubarkan dengan ketiga-tiga agensi utama diarah bekerja secara bersendirian, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi anti-rasuah itu cuba meredakan kebimbangan yang ia mengeluarkan kenyataan berhubung wang RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun perdana menteri tanpa penglibatan pihak polis dan Bank Negara Malaysia (BNM), yang merupakan komposisi asal pasukan petugas yang diketuai bekas peguam negara Tan Sri Gani Patail .

"SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Malaysia, tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas.


"Sebaliknya, agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing," kata suruhanjaya itu.

Ia bagaimanapun tidak menamakan peguam negara yang mana satu yang dimaksudkan kerana Gani kini digantikan dengan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali minggu lepas.

Sejak penyingkiran Gani dari jawatan Peguam Negara pada 27 Julai, kedudukan pasukan petugas itu yang terdiri daripada Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan polis menjadi pertikaian dengan pengkritik mempersoalkan jika ia masih berkuat kuasa.

Dalam seminggu yang lalu, bagaimanapun, ahli pasukan petugas itu dipanggil untuk disoal siasat Bukit Aman mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin, orang keenam yang dipanggil, mengatakan beliau disoal berhubung draf surat pertuduhan terhadap Najib yang diterbitkan laman pemberi maklumat Sarawak Report minggu lalu.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairy turut ditangkap bersama Tan Sri Rashpal Singh, bekas penasihat SPRM, dan Jessica Gurmit Kaur, seorang pegawai Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan orang nombor dua SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut akan dipanggil pihak polis.

Terdahulu hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilaporkan sedang bercuti selama seminggu ketika ini

Tiada ulasan: