SHAH ALAM: PAS menafikan ia dipinggirkan daripada sebarang program
anjuran parti pembangkang sebaliknya ia tidak menyertai program
diterajui DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB).
Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Mahfodz Mohamed menegaskan PAS sememangnya
mengambil pendirian untuk tidak menyertai program pembangkang, sekiranya
DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) turut serta.
"Sebab DAP sudah menolak kita, begitu juga dengan GHB sudah keluar
daripada PAS. Yang kita ada dengan pembangkang adalah PKR sahaja. Sebab
itulah kita tidak bersama.
"Jikalau yang memanggil kita adalah PKR (sahaja), PAS akan datang," demikian menurutnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Terdahulu sebuah portal mendakwa PAS mula 'keseorangan' selepas
dipinggirkan apabila satu demi satu program besar yang dianjurkan
pembangkang tidak lagi melibatkan mereka.
Malah keputusan PAS untuk tidak menyertai himpunan Bersih 4.0 yang akan
diadakan pada hujung bulan ini juga disebabkan parti itu akan
menganjurkan himpunan Bersihnya sendiri.
Terbaru, PAS membuat keputusan menganjurkan himpunan Bersih mereka
sendiri dan tidak akan mengerahkan ahlinya menyertai himpunan Bersih 4.0
yang dianjurkan pelbagai pertubuhan termasuk parti pembangkang.
PAS turut didakwa diketepikan dalam sekurang-kurangnya tiga program
besar pembangkang seperti mesyuarat parti pembangkang pada 29 Julai,
penyerahan memorandum sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) pada 6 Ogos dan himpunan Bersih 4.0 hujung bulan ini.
Mesyuarat pada bulan lalu itu dipanggil ketua pembangkang Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail, namun dibatalkan secara tergesa-gesa kerana DAP
tidak mahu menyertainya jika PAS ada.
Mengulas hal berkaitan, Mahfodz menegaskan hubungan PAS dan PKR masih
berjalan dengan baik apatah lagi dalam mempertahankan kerajaan Selangor.
Malah kedua-dua parti berkenaan juga mengadakan mesyuarat baru-baru
ini, namun Mahfodz tidak menyatakan apa diperbincangkan kerana tidak
hadir di mesyuarat berkenaan.
"Pada minggu lepas ada (mesyuarat antara PAS dan PKR). Yang hadir
adalah setiausaha agung, timbalan dan naib presiden PAS. Mereka nyatakan
(mesyuarat) itu pada mesyuarat AJK PAS Pusat pada 8 Ogos lepas.
"PAS tidak rasa terpinggir sebab kami sudah biasa bersendirian. Jika
semua sudah tidak mahu bersama dengan PAS, maka kita akan bersendirian.
Yang penting kita tidak merasa terpinggir," terang Mahfodz.
Muktamar PAS Kali ke-61 yang diadakan pada Jun lalu menyaksikan parti
berkenaan memutuskan hubungan langsung dengan DAP, akibat tekanan dan
serangan berterusan dalam beberapa perkara.
Malah kerjasama di dalam Pakatan Rakyat (PR) hasil gabungan PAS-DAP-PKR
akhirnya terkubur sebagaimana diumumkan pada awal bulan lalu.
Gerakan Harapan Baru (GHB) yang diterajui oleh pemimpin progresif PAS
yang kalah pada pemilihan parti baru-baru ini juga merupakan haluan baru
dalam pembentukan kerjasama parti-parti pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan