Rabu, 5 Ogos 2015

PAS seru cari formula baru satukan pembangkang

MALAYSIAKINI


 


PAS menyeru supaya semua parti pembangkang bersatu di tengah-tengah skandal bahawa RM2.6 bilion telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

PAS telah secara rasmi memutuskan hubungan dengan DAP pada 11 Julai, dan secara rasmi juga menguburkan Pakatan Rakyat.

"Kini, masa yang paling penting semua parti pembangkang bersatu," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Inilah masa parti politik pembangkang duduk mencari titik persamaan dan mengecilkan titik perbezaan.

"Banyak formula baru boleh dicari," katanya dalam satu kenyataan.

Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Malaysia (SPRM) berkata RM2.6 bilion yang dikatakan didepositkan ke dalam bank akaun peribadi Najib adalah sumbangan penderma dan bukan dari dana 1MDB.

Tuan Ibrahim berkata, selain skandal RM2.6 bilion itu, nilai ringgit terus lemah manakala penyiasat SPRM yang menyiasat skandal itu sendiri disiasat.

"Rakyat bosan dan meluat melihat ahli politik bercakaran. Apakah tidak ada formula baru bagi membina persefahaman?

"Mari ketepikan perbezaan dan bersamalah selamatkan negara," katanya.

Kenyataan Tuan Ibrahim dibuat di tengah-tengah rancangan untuk menubuhkan pakatan pembangkang baru selepas pemimpin progresif PAS diketepikan oleh kepimpinan konservatif baru parti itu.


Tiada ulasan: