Rabu, 12 Ogos 2015

PAS akan umum penyertaannya dalam BERSIH 4.0 atau tidak - Tuan Ibrahim

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS akan mengumumkan dalam masa terdekat berhubung penyertaannya dalam perhimpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada hujung bulan ini.
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti akan mengeluarkan arahan berkaitan dalam masa terdekat tambahan kedudukan PAS yang tidak lagi menjadi penganjur bersama Bersih.
 
"PAS akan terus bersama kebangkitan rakyat khasnya anak-anak muda bagi menyatakan bantahan terhadap kemelut ekonomi, politik dan urustadbir negara kini. 
 
"Walau bagaimanapun oleh kerana kedudukan PAS kali ini bukan lagi penganjur bersama sebagaimana himpunan Bersih sebelum ini, maka parti telah bersetuju menghantar Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Kamaruzaman Mohamad bagi mendapatkan maklumat lanjut himpunan tersebut. 
 
"Sebarang arahan kepada ahli akan dikeluarkan setelah kita mendapat gambaran sebenar format himpunan dan tentatif program sepanjang rally yang akan diadakan nanti," katanya dalam satu kenyataan.
 
Himpunan Bersih 4.0 dijangka akan diadaka pada 29 dan 30 Ogos ini di tiga lokasi berbeza iaitu Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
 
Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata, dalam suasana politik negara yang tidak stabil kini, PAS tidak akan bersetuju dengan apa jua usaha yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang ada.
 
Ini disebabkan ia akan diambil kesempatan oleh parti pemerintah bagi mengalih isu utama kepada tindakan provokasi bagi mencetuskan kegawatan dalam negara, katanya.
 
Tambahnya lagi,  PAS akan menghantar wakil parti bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perhimpunan tersebut.
 
"Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden, bahawa PAS tidak akan membuat kerahan atau larangan kepada ahli. Kita akan hantar wakil parti bagi mendapat gambaran sebenar format himpunan tersebut.
 
"PAS konsisten menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bersih bagi menjamin kelangsungan sistem demokrasi dalam negara ini," katanya.
 
Malah beliau turut memperincikan kebimbangan PAS terhadap penyelewengan dalam pilihan raya.
 
"Antaranya seperti penggunaan jentera kerajaan, daftar pemilih yang dipertikaikan, persempadanan pilihan raya dan penggunaan media perdana oleh parti pemerintah sahaja adalah antara sebahagian isu dari pelbagai isu utama yang ada.
 
"Pelbagai bentuk bantahan digunakan bagi melaksanakan tuntutan seperti menghantar memorandum, dialog bersama SPR, perhimpunan aman, dan mengumpulkan tandatangan adalah sebahagian usaha bagi menjayakan tuntutan tersebut. PAS mengambil bahagian dalam semua bentuk tuntutan secara aktif," katanya.
 
 

Tiada ulasan: