Ahad, 30 Ogos 2015

Nasrudin: 'Saya jangka tak sampai 10 peratus ahli akan keluar dan sertai GHB'

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan menjangkakan hanya 10 peratus ahlinya akan keluar mengikut jejak pimpinan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang bakal bergerak atas platform politik dalam tempoh terdekat.
 
Ini kerana jelas beliau, sokongan awal ahli PAS kepada GHB disebabkan rasa simpati berikutan kegagalan pimpinan dalam pemilihan parti namun ia berubah apabila ia berhasrat menubuhkan parti baru.
 
"Malah pengalaman yang saya lihat mutakhir ini walaupun di peringkat awal ramai yang menyokong dan bersimpati dengan perjuangan yang mereka ambil ataupun gerakan yang mereka lakukan.
 
"Tapi apabila mereka mula bercakap nak tubuh parti baru dan keluar daripada PAS ada yang tak setuju," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
 
Nasrudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat bekas pemimpin kanan PAS yang mahu menubuhkan parti baru menerusi GHB yang dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang. 
 
Untuk rekod, GHB akan mengambil alih parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan bercadang melancarkan semula parti itu pada 31 Ogos ini namun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak permohonan GHB untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam sebagai nama parti baru yang hendak ditubuhkan.
 
Sehubungan itu, ROS akan memberikan surat kepada pemimpin GHB agar memilih nama lain tanpa menggunakan nama Islam dalam usaha mendapatkan sokongan dan pengaruh. 
 
Sokongan terhadap GHB 'hilang' bila nyata hasrat tubuh parti baru
 
Nasrudin menambah perkembangan yang berlaku dalam PAS tidak menunjukkan krisis yang agak membimbangkan selain akan ditangani secara berperingkat melalui pertemuan yang diadakan.
 
"Mereka mungkin tak sependapat dengan pimpinan yangada sekarang dan kita memang tak boleh nak menjadi semua ahli puas hati dengan pimpinan yang ada.
 
"Akan ada yang tak puas hati dan tak setuju sebab itu kalau kita lihat pengundian pada muktamar akan ada pertandingan antara pemimpin yang mana mungkin 40 peratus sana dan 50 peratus ke sini.
 
"Itu menunjukkan bahawa tidak bulat atau tidak 100 peratus menyokong individu tertentu," katanya.
 
Ahli Parlimen Temerloh ini berkata majoriti besar ahli PAS kekal mempertahankan serta menyokong dasar perjuangan parti berbanding menyertai pimpinan progresif dalam GHB.
 
"Tetapi apabila sampai ke peringkat nak tubuh parti baru ini adalah sesuatu yang sukar.
 
"Mereka sayang kepada dasar perjuangan, mereka boleh bersabar untuk menghadapi segala ujian ini demi berdepan masa depan perjuangan yang lebih rumit dan getir," katanya.
 
Justeru beliau optimis bahawa 'gelombang' GHB tidak akan berterusan menambah PAS juga akan memastikan segala kelemahan serta kekurangan dalam parti diatasi.
 
"Jadi insya-Allah setakat apa yang berlaku ini walaupun gelombang itu cuba mereka wujudkan, saya boleh jangka tak akan sampai 10 peratus ataupun sekira lima peratus dianggarkan mengikut jejak mereka keluar daripada parti," katanya.
 
 

Tiada ulasan: