Rabu, 5 Ogos 2015

Najib, Rosmah akan fail satu lagi saman fitnah terhadap Rafizi

 
Perdana Menteri dan isteri juga akan memfailkan permohonan batal penyataan pembelaan yang telah dibuat Rafizi Ramli.


najib,rosna,rafiz


PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan memfailkan permohonan bagi membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Bernama melaporkan, permohonan tersebut akan dibuat serentak dengan satu lagi dalam saman fitnah berhubung isu subsidi minyak yang dibuat oleh Rafizi.

Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili Perdana Menteri dan isteri memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas kes berkenaan disebut pada Rabu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noraini Abdul Rahman.

Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Ng Siaw Sun yang mewakili Rafizi dan peguam Joanne Leong mewakili pemilik portal ‘Media Rakyat’, Chan Chee Kong.

Choo berkata permohonan itu akan difailkan sebelum 21 Ogos ini dan mahkamah menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes saman berkenaan.

Pada 16 April lepas, Najib dan Rosmah selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Rafizi sebagai defendan pertama manakala Chan, defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan itu, mereka mendakwa Rafizi telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 Nov 2014.

Najib dan Rosmah mendakwa ucapan Rafizi telah dirakam oleh `Media Rakyat’ yang kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk ‘Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak’.

Mereka juga mendakwa bahawa rakaman yang sama turut dikongsi oleh Chan dalam laman facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet seluruh dunia.

Menurut mereka lagi, Chan telah gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.

Najib dan Rosmah turut menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan yang akan ditafsir oleh mahkamah.

Mereka juga menuntut satu arahan injunksi untuk menghalang Rafizi, Chan dan pembantu mereka daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah itu selain menuntut satu perintah supaya kedua-dua mereka menerbitkan permohonan maaf secara bertulis dalam surat khabar dan majalah.

Tiada ulasan: