Ahad, 2 Ogos 2015

Muhyiddin: Saya tak akan 'membisu' mengenai 1MDB

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
KLUANG : Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar untuk terus bersuara mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun menanggung risiko digugurkan sebagai Timbalan Presiden Umno setelah dipecat daripada Kabinet  Selasa lalu.
 
Ketika merasmikan mesyuarat agong Umno Kluang di sini, Muhyiddin berkata beliau menolak nasihat rakan-rakannya supaya “membisu” mengenai isu 1MDB.
 
“Mereka kata saya bukan lagi Timbalan Perdana Menteri lagi, jadi buat apa nak cakap pasal 1MDB. Saya kata, biarlah.”
 
“Mereka kata, manalah tahu selepas saya tidak lagi dalam jawatan kerajaan, ada pihak nak cari salah supaya jawatan saya sebagai Timbalan Presiden digugurkan,” kata beliau.
 
"Jadi, bagaimana saya nak cakap... Tutup mulut dan berdiam diri? Takkan saya nak membisu... Saya harus bercakap, kerana ini tugas."
 
"Kalau orang politik tidak boleh bercakap, dia tidak boleh jadi ketua,” tambah beliau.
 
Muhyiddin berkata beliau membicarakan isu 1MDB secara terbuka bukan dengan “berniat jahat tetapi berniat baik.”
 
"Apa yang saya lakukan selama ini (adalah) supaya perjuangan parti terus kekal."
 
"Selama 41 tahun bersama UMNO dan 37 tahun dalam kerajaan, (setelah) menghadiri ribuan majlis dan memberikan pelbagai ucapan, memang sukar untuk saya mendiamkan diri,” kata Muhyiddin.
 
Ahli Parlimen Pagoh itu digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran setelah beliau secara terbuka menuduh kerajaan dan Datuk Seri Najib Tun Razak lembab dalam menangani isu 1MDB.
 
Syarikat milik penuh kerajaan itu dibeban hutang RM42 bilion ringgit dan menjadi senjata politik pembangkang untuk menjatuhkan pentadbiran Najib.
 
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan beliau tidak dapat menerima tindakan pemimpin kerajaan untuk melontar tohmahan terhadap  isu 1MDB di pentas terbuka  dan bukan menggunakan saluran parti dan kerajaan.
 
Turut digugurkan daripada Kabinet Najib adalah Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang juga lantang mengungkit isu 1MDB di forum terbuka.
 
Perdana Menteri  menolak tanggapan kerajaan berpeluk tubuh menangani isu 1MDB.  Siasatan ke atas pengurusan kewangan syarikat itu sudah pun dimulakan oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Akaun Kira-kira Awam (PAC).
 
Selain itu kerajaan juga sedang melaksanakan pelan pemulihan 1MDB bertujuan mengatasi beban hutang syarikat itu. Pelan itu dijangka membuahkan hasil dalam enam bulan.     
 
Dalam ucapannya Muhyiddin berkata beliau akan terus berucap mengenai isu 1MDB kerana “"sebagai timbalan presiden parti saya bertanggungjawab dengan amanah ini."
 
Beliau menolak tanggapan bahawa komen-komennya mengenai isu 1MDB selaku timbalan presiden Umno boleh menggugat kestabilan politik negara.
 
"Takkan suara saya seorang boleh menjatuhkan kerajaan?
 
"Sejak bila saya nak jatuhkan kerajaan? Dua hari selepas digugurkan, saya tidak pergi mana-mana. Duduk sahaja di rumah. Orang ramai datang. Tetapi tidak ramai ketua bahagian datang,” kata beliau.
 
Muhyiddin menyifatkan penggugurannya daripada Kabinet sebagai “ketentuan” Allah SWT mahu meringankan beban yang dipikulnya selama ini.
 
"Sebagai seorang Islam, kita sudah ditentukan dengan beberapa ujian...mungkin Allah mahu meringankan beban saya sedikit. 
 
" Kalau dulu saya tidak mempunyai masa langsung untuk isteri tetapi sejak beberapa hari ini lain," katanya
 
 

Tiada ulasan: