Ahad, 2 Ogos 2015

Menilai punca di sebalik rombakan kabinet Najib




Oleh Christopher Fernandez


Permainan ‘kerusi muzik’ oleh Najib Razak diteruskan dengan barisan Kabinet baru, dengan Muhyiddin Yassin dan nama-nama lain yang pernah menyuarakan kebimbangan ke atas isu 1MDB digugurkan, untuk memberi laluan kepada mereka yang dilihat sebagai penyokong perdana menteri.

Penyingkiran Muhyiddin daripada jawatan timbalan perdana menteri bukanlah satu kejutan kerana ia “hanya menunggu masa untuk terjadi”.

 Dan hakikat bahawa beliau bukan lagi timbalan perdana menteri Malaysia menunjukkan cara Najib yang berani dan ‘tebal muka’ dalam menutup mulut pengkritik dan seteru yang dilihat tidak menyebelahinya.

Muhyiddin dan individu lain yang digugurkan dilihat sebagai “orang yang berlagak” yang mula mensabotaj Najib melalui isu 1MDB di mana RM42 bilion dipercayai telah hilang.

Apabila Dr Mahathir Mohamad mengkritik Najib, Muhyiddin pantas berpihak kepada bekas perdana menteri itu, dan menyebabkan Najib mula memantau timbalannya.

Najib mula khuatir apabila Muhyiddin menunjukkan sokongan kepada Mahathir dengan berkata “anda tidak keseorangan”. Ia memulakan pengakhirannya sebagai timbalan perdana menteri negara.


Tetapi apa yang benar-benar dapat diukur daripada rombakan ini adalah Najib memenuhkan Kabinet dengan “tukang-tukang angguk” – mereka yang akan mempertahankannya daripada apa sahaja. Ia juga menunjukkan Najib tetap mahu melawan unsur-unsur yang mahu menjatuhkannya.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa populariti Najib telah merosot teruk, dan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kecewa dengan kemerosotan ringgit, kenaikan harga barang dan malah perubahan cuaca di sini.

Justeru dalam krisis keyakinan ini, Najib amat memerlukan aggota Kabinet untuk mempertahankannya. Rakyat Malaysia menyalahkan Najib atas semua masalah yang menimpa negara ini, dan beliau pula dalam masa beberapa tahun ini hanya menghabiskan masa menangkis tuduhan dan serangan terhadapnya dan isteri, Rosmah Mansor.

Maka sokongan penuh Kabinet amat penting baginya untuk kekal berkuasa. Akan tetapi pada masa sama, semakin ramai rakyat yang tidak lagi menyokongnya dan BN dan berharap kemunculan gabungan pembangkang baru untuk melawan mereka dan seterusnya mengambil alih pentadbiran negara.

Namun Najib kekal berwaspada dan kini kelihatan memiliki kawalan penuh ke atas mekanisme kuasa dan autoriti dalam negara ini, sehingga kian sukar bagi sesiapa dan mana-mana pihak di Malaysia atau luar negara untuk menyingkirkannya.- bm.theantdaily.com


Tiada ulasan: