MALAYSIAKINI
Pihak berkuasa sepatutnya, dari awal lagi, berkata bahawa RM2.6 bilion
yang ditemui dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul
Razak adalah sumbangan penderma dari orang kaya Arab, kata wartawan
veteran Datuk A Kadir Jasin.
Katanya, mengapa Najib dan seluruh briged tukang spin beliau tidak berbuat demikian dari awal lagi.
Beberapa hari sebelum pengumuman SPRM, cakap-cakap bertiup kencang
bahawa seorang atau beberapa anak raja Arab dan sheikh yang terkaya
telah 'mengakui' menderma sejumlah wang yang besar kepada Najib, tulis
Kadir dalam blognya malam Isnin.
Semalam,
SPRM mengumumkan bahawa RM2.6 bilion yang dikatakan didepositkan ke
dalam bank akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak
adalah sumbangan perderma.
Kadir (gambar), bekas ketua pengarang New Straits Times, berkata rakyat
mudah membuat spekulasi tentang perkembangan itu selepas penamatan
khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada 27 Julai,
rombakan kabinet Julai 28 dan perkembangan lain yang berkaitan.
Beliau berkata sangat pelik ia mengambil masa yang lama untuk SPRM dan
pasukan petugas 1MDB untuk mengetahui bahawa AS$700 juta adalah
sumbangan derma.
Katanya berdasarkan pengalaman lalu, cerita mengenai sumbangan derma dan
cakap-cakap mengenai dermawan Arab yang murah hati, boleh jadi ada
kemungkinannya.
Lagi pula, katanya, ia telah diumumkan secara terbuka bahawa isteri
Najib, Rosmah Mansor, sangat rapat dengan orang kaya Arab, termasuk
anggota keluarga diraja.
Bagaimanapun, Kadir berkata lebih banyak soalan yang belum terjawab ekoran kehilangan mereka yang dicari oleh pihak penyiasat.
Beliau berkata, sekiranya wang dalam akaun perdana menteri bukan dari 1MDB, mengapa tidak Jho Low berkata demikian.
"Atau mengapa orang yang dikaitkan dengan akaun itu perlu melarikan lari dari negara ini?" soalnya.
"Orang yang dicari oleh pasukan petugas khas (menyiasat 1MDB), termasuk
Nik Faisal Ariff Kamil dan (Datuk) Suboh Mohd Yassin, kini sepatutnya
tampil untuk membersihkan nama perdana menteri," tulis Kadir.
Beliau juga mahu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed
meletakkan jawatan secara sukarela kerana gagal menemui lebih awal yang
RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri di AmBank adalah
sumbangan derma.
"Macam mana anda boleh main-main dengan perdana menteri seperti itu?"
katanya sambil menambah, mudahan-mudahan kita tidak ditatapkan dengan
satu lagi pusingan silap mata dan sihir dalam saga 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan