Selasa, 25 Ogos 2015

Menang atas tiket PAS bukan PR: Tuan Ibrahim ingatkan Mat Sabu

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic


SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menempelak Mohamad Sabu yang menyarankan Ahli Parlimen dan ADUN PAS meletakkan jawatan berikutan kemenangan mereka dicapai atas dasar tiket Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Tuan Ibrahim, tidak timbul isu Ahli Parlimen dan ADUN PAS meletakkan jawatan kerana mereka bertanding atas tiket PAS dan bukannya PR.

"Dia (Ahli Parlimen dan ADUN PAS) bertanding atas tiket PAS, bukan atas tiket Pakatan Rakyat (PR). Jadi semua calon PAS bertanding atas parti PAS dan Baiah kepada PAS jadi tidak timbul soal Pakatan Rakyat. Ia bukan parti jadi setiap wakil kepada parti. Cuma PR mungkin hanya kepada jentera dan petugas, itu tidak dinafikan. Tetapi dari segi realitinya, dia mewakili parti, parti yang calonkan."

Tuan Ibrahim mengulas gesaan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu yang berkata semua Ahli Parlimen dan ADUN PAS yang sepatutnya meletakkan jawatan kerana menang pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 lalu atas tiket Pakatan Rakyat.

Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang juga bekas Naib Presiden PAS sebelum ini berkata demikian sebagai menjawab saranan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang yang mahu wakil rakyat PAS yang menyertai GHB supaya meletakkan jawatan.

Tuan Ibrahim berkata wakil rakyat yang menyertai GHB perlu bertanggungjawab dengan sumpah Baiah yang dilafazkan mereka ketika dicalonkan pada PRU-13 lalu.

Malah katanya, individu yang bertindak keluar parti perlulah meletakkan jawatan kerana kemenangan kerusi berkenaan adalah atas inisiatif parti mencalonkan mereka.

"Ahli PAS tidak perlu letak jawatan sebab masih kekal bersama PAS dan mewakili PAS, bukan bertanding atas PR, bertanding atas lambang parti. Tetapi yang timbul masalah sekarang ialah dia (yang ingin sertai GHB) ahli PAS tapi keluar daripada PAS, jadi kena tanggungjawab bagaimana lafaz Baiah. Kalau nak keluar parti, mesti letak jawatan," katanya.

Kemelut mengenai status wakil rakyat yang menyertai GHB terus dipersoalkan ramai pihak terutama PAS kerana enggan meletakkan jawatan selaku Ahli Parlimen dan ADUN walaupun sudah mengesahkan menjadi ahli GHB.

Antaranya Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungip dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin.

Tiada ulasan: