KUCHING, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bersetuju perhimpunan Bersih 4 diadakan di Padang Song Kheng Khai.


Pengerusi Penganjur Bersih 4, Nicholas Mujah berkata, pihak majlis mahukan ia diadakan di kawasan letak kereta Stadium MBKS, namun kawasan itu tidak boleh digunakan untuk penganjuran apa-apa acara.

“Pihak majlis gagal dalam menjaga kemudahan ini dan ia berada dalam keadaan menyedihkan. Apa yang lebih teruk, ia sebenarnya adalah kawasan pembinaan,” katanya.

Penganjur perhimpunan itu memohon 10 kawasan di bandaraya itu di mana antara kawasan berkenaan adalah di bawah MBKS dan Majlis Pembangunan Ekonomi Sarawak, yang mana ia ditolak.

Sehubungan dengan itu, Polis Kuching menasihatkan penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu di Padang Song Kheng Khai yang mana sebelum ini ia digunakan oleh rakyat Sarawak untuk acara Sarawak For Sarawakians Independence Walk pada 22 julai lalu yang menghimpunkan lebih 10,000 peserta.

Mujah turut mengucapkan terima kasih kepada polis Sarawak kerana membantu mereka menetapkan lokasi perhimpuan dan akan mengikut arahan polis pada perhimpunan yang dijadualkan Sabtu ini.

“Syarat yang perlu dipatuhi adalah kelancaran perjalanan di bandar itu dan dalam masa yang sama penjaja gerai di Song Kheng Khai menerima perhimpunan ini.

“Kami percaya himpunan ini tidak akan menjadi seperti yang berlaku di Kuala Lumpur sebelum ini. Kami akan berikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan keamanan sepanjang perhimpunan,” katanya.

Perhimpunan Bersih 4 dijadualkan berlangsung serentak di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu bermula jam 2 petang pada 29 Ogos hingga tengah malam 30 Ogos.

Sementara itu, MBKS bagaimanapun gagal dihubungi.