Isnin, 3 Ogos 2015

Martabat filem jangan sampai gadai prinsip Islam

Persatuan Ulama Malaysia
Persatuan Ulama Malaysia


MERUJUK kepada kenyataan Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai isu tapisan filem yang menimbulkan kontroversi serta berkemungkinan diputarbelitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Maka Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ingin menyatakan perkara berikut:

1. Memohon jasa baik Datuk Seri, Lembaga Penapisan Filem dan pihak Finas mengambil kira Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang dikeluarkan oleh Jakim dan telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-107 pada 10-11 Februari 2015, sebagai dokumen garis panduan perfileman, persembahan, lakonan dan seni pentas yang selaras dengan kehendak Islam dan tidak melanggar prinsip-prinsip nilai sejagat serta ajaran agama.

2. Sekiranya ada sebarang usaha ke arah penggubalan polisi perfileman/ hiburan ini dapatlah kiranya dilakukan dengan berhemah melibatkan agensi-agensi berkenaan, industri, wakil masyarakat, NGO dan lain-lain agar ianya berasaskan kepada kepentingan negara dan manfaat masyarakat.

3. Meminta jasa baik Datuk Seri memartabatkan perfileman negara tanpa menggadai prinsip Islam dan sewajarnya memartabatkan perfileman tersebut berteraskan maqasid syariah.

Insya-ALLAH, dengan kesudian Datuk Seri melihat perkara ini serta memahami ruang lingkup yang dibenarkan oleh syarak, usaha serta perancangan Datuk Seri akan menjadi lebih mudah dan diberkati Ilahi.

PUM sebagai sebuah NGO Islam bersedia memberikan pandangan sekiranya diperlukan.

Semoga Datuk Seri dapat terus menjalankan amanah dengan penuh semangat.


DR MOHD ROSLAN MOHD NOR
Setiausaha Agung
Persatuan Ulama Malaysia (PUM)

1 ulasan:

awekaste berkata...

Nak depa tu bincang dgn PUM depa dengan nama PUM pun depa dah elegik.