KUALA LUMPUR, Perhimpunan jalanan yang kerap mensasarkan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di ibu negara menjejaskan pendapatan bukan saja gudang perniagaan besar di situ, tetapi juga seniman dan pelukis jalanan.

Sudahlah rezeki mereka tidak menentu dan boleh diibaratkan kais pagi makan pagi, kehadiran kumpulan peserta demontrasi jalanan – sekalipun mendakwa menganjurkan program mengikut undang-undang – merencatkan pendapatan mereka.

Perkara itu diakui penyelia makanan segera, Azizul Husin, 23, yang mendakwa perhimpunan pada 1 Ogos lalu menyebabkan restoran tempat beliau bekerja ditutup kira-kira sejam bermula jam 2 petang sehingga menyebabkan kerugian lebih RM1,000 semalam.

“Mereka adakan demontrasi pada hujung minggu di mana ramai pelanggan pada hari Sabtu dan Ahad.
Semalam kami dapat arahan dari pihak pengurusan Sogo untuk menutup premis apabila sudah bermulanya perhimpunan sejak tengahari semalam.

“Walaupun hanya sejam kami menutup premis, kami terpaksa menanggung kerugian anggaran RM1,000,” kata ketika ditemui The Rakyat Post sambil mengakui premis hanya dibuka pada jam 4 petang, apabila keadaan kembali reda.

Malah kata Azizul, setiap kali perhimpunan biasanya, pihak pengurusan akan meletakkan pengawal keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga di premis perniagaan di dalam bangunan Sogo berbanding 1 Ogos lalu, apabila pengurusan mengarahkan semua premis di dalam bangunan itu ditutup.

Pemuzik buta, Abas Asahari, 55, yang bermain muzik berhampiran pusat beli belah Sogo – lokasi perhimpunan #TangkapNajib, baru-baru ini, meminta supaya perhimpunan tidak dibuat di tempat awam.

“Saya tidak setuju mereka buat demontrasi di sini. Saya tidak kisah di mana mereka nak buat perhimpunan asalkan bukan di tempat awam. Saya tidak tahu apa sebabnya mungkin mereka (berhimpun)? Mungkin tidak puas hati kepada kerajaan.

“Sepatutnya ada saluran tertentu dan caranya, asalkan mereka tak ganggu tempat awam,” katanya yang mengakui pendapatannya terjejas pada hari perhimpunan berkenaan pada 1 Ogos lalu.

Perunding insurans, Mohd Badrun Mohd Arshad, 31, menegaskan, sebagai kawasan strategik untuk perniagaan dan menjadi tumpuan warga kota, perhimpunan di sekitar Jalan TAR mengganggu operasi peniaga pelbagai peringkat.


Mohd Badrun meminta mereka yang tidak berpuas hati mengguna saluran sepatutnya tanpa mengganggu tempat awam
Mohd Badrun meminta mereka yang tidak berpuas hati mengguna saluran sepatutnya tanpa mengganggu tempat awam
“Kita sebagai rakyat perlu mengunakan saluran yang betul. Jika ingin mengadakan perhimpunan, lakukan di stadium. Saya rasa stadium sesuai.

“Kalau hendak protes, perlulah mengunakan hak mengundi bagi melahirkan rasa tidak puas hati dan siapa pemimpin yang mereka mahu di masa akan datang,” katanya.

Pengawal keselamatan, Johari Mad Salleh, 43, yang menjalankan perniagaan mainan kanak-kanak berhampiran Sogo, sejak lima tahun lalu, mengakui pada hari perhimpunan 1 Ogos lalu, beliau terpaksa menghentikan perniagaannya sementara.

Berikutan itu, beliau sekadar mampu pulang dengan RM20 berbanding hasil jualan purata antara RM150 dan RM200 sehari pada hari biasa.


Johari hanya mampu pulang dengan RM20 apabila perhimpunan #TangkapNajib menyebabkan beliau terpaksa menghentikan perniagaan
Johari hanya mampu pulang dengan RM20 apabila perhimpunan #TangkapNajib menyebabkan beliau terpaksa menghentikan perniagaan
“Saya langsung tidak dapat berniaga apabila melihat mereka sudah mula berkumpul dan buat bising. Kita ada undang-undang, tidak perlu melanggar peraturan atau sehingga mengadakan perhimpunan jalanan. Kalau mereka nak protes ikut saluran.

“Jika kerajaan benarkan di stadium panggillah pemberita dalam negara dan luar negara, tulis kisah perhimpunan mereka.

“Mereka suka pilih lokasi di sini kerana tumpuan orang ramai. Jika buat protes, kena tangkap, yang merana ahli keluarga mereka juga,” katanya sambil mengingatkan golongan muda di negara tidak mudah terikut-ikut budaya meluahkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan di jalanan.

Pelukis jalanan Ahmad Shakirin Mohd Zain, 46, pula meminta kerajaan memandang serius kegiatan perhimpunan jalanan selain mencadangkan tindakan itu perlu dibendung pihak bertanggungjawab.

“Mereka bukan sahaja berhimpun tetapi mengotorkan jalan raya dan memberikan pandangan yang negatif kepada orang luar.

“Jika kita tidak puas hati, hendak guna hak bersuara memang tak guna di sini kerana bukan kerajaan mendengar pun. Kalau hendak protes pun, kenapa perlu mengamuk dan marah-marah? Ini tidak mendatangkan faedah sebenarnya,” katanya yang sudah setahun mencari rezeki menerusi bakat melukis potrait di hadapan Sogo.

Pada 1 Ogos lalu, seramai 37 orang disyaki menyertai perhimpunan #TangkapNajib ditahan untuk diambil keterangan.