Khamis, 27 Ogos 2015

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan rayuan Khir Toyo ke 22 September



Panel 5 hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan permohonan dibuat peguam mewakili bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mahkamah menyampaikan keputusan pada tarikh lain. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Ogos, 2015.Panel 5 hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan permohonan dibuat peguam mewakili bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mahkamah menyampaikan keputusan pada tarikh lain. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini menangguhkan ke 22 September untuk membuat keputusan terhadap rayuan bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo kerana beliau kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Panel 5 hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan permohonan dibuat peguam mewakili bekas menteri besar itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mahkamah menyampaikan keputusan pada tarikh lain.

"Kami sudah bersedia menyampaikan penghakiman dan alasan penuh penghakiman selepas beberapa bulan kami mendengar rayuan itu.

"Memandangkan Dr Khir tidak dapat hadir, saya fikir kami tidak akan menyampaikan keputusan hari ini dan kami menangguhkannya 3 minggu dari sekarang," kata Hakim Zulkefli. "Kami berharap perayu akan sembuh dan berdoa semoga beliau kembali sihat," katanya.

Terdahulu, Shafee memberitahu mahkamah bahawa Dr Khir tidak dapat hadir di mahkamah hari ini kerana beliau dimasukkan ke IJN dan dijadual menjalani rawatan angiogram pada 5 petang hari ini.

Beliau berkata Dr Khir, 50, rebah semasa berjoging semalam, dan saluran jantungnya disyaki tersekat.
Shafee juga mengemukakan laporan doktor kepada mahkamah.

Katanya Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah menyatakan jika perayu tidak hadir di mahkamah, maka mahkamah tidak harus mengeluarkan apa-apa perintah tetapi perlu menangguhkan prosiding.

Beliau berkata, Dr Khir perlu hadir di mahkamah sekiranya mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya kerana proses rayuan masih berjalan.

Beliau berkata ini kerana Dr Khir mempunyai hak untuk mendengar semasa proses menjatuhi hukuman dan merayu supaya hukuman diringankan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud berkata, mahkamah masih boleh mengumumkan keputusan tanpa kehadiran Dr Khir sambil merujuk kes anggota Unit Tindakan Khas Koperal Sirul Azhar Umar yang tidak hadir apabila Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya. Sirul Azhar dilaporkan lari ke Australia pada hari keputusan disampaikan.

Terdahulu, Shafee turut memaklumkan mahkamah anak guamnya dijangka berada di wad selama beberapa hari dan keadaannya dipantau oleh doktor bagi tempoh beberapa minggu akan datang.

Hakim Zulkefli kemudian berkata: "Kebanyakan kami pernah menjadi pesakit di IJN, tetapi itu tidak bermakna kami tidak hadir untuk bekerja, ini adalah pemerhatian saya".

Panel itu dijadual menyampaikan keputusan hari ini terhadap rayuan Dr Khir terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 bulan karana dikatakan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan satu unit banglo.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Khir, seorang doktor gigi, bersalah kerana mendapatkan untuk dirinya dan isterinya Zahrah Kechik, 50, dua plot tanah dan satu unit banglo di Seksyen 7, Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya Datuk Shamsuddin Hayroni.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang itu gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013.
 
Dr Khir dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.
 
Sementara itu, di luar mahkamah, Shafee memberitahu pemberita bahawa Dr Khir berada dalam keadaan sihat apabila datang ke pejabatnya pada Selasa tetapi beliau (Shafee) kemudian diberitahu semalam anak guamnya rebah selepas berjoging. – Bernama,


Tiada ulasan: