Selasa, 25 Ogos 2015

Lepaskan jawatan: PAS pulang paku buah keras kepada GHB [TONTON VIDEO]

Oleh Sharifah Azmawati Syed Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini memulangkan ‘paku buah keras’ kepada Gerakan Harapan Baru (GHB) kerana menyarankan Ahli Parlimen dan ADUN PAS meletakkan jawatan kerana menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 atas tiket ‘bersama pakatan pembangkang.’
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi sebaliknya berkata, ahli PAS menyertai GHB yang sebenarnya khianat kerana mereka dibenarkan bertanding dan diberikan watikah atas tiket PAS.
 
Sehubungan itu katanya, adalah tidak berasas langsung apabila GHB yang meminta PAS keluar Pakatan Rakyat ekoran Pakatan Rakyat 2.0 yang akan dibentuk tidak lama lagi tidak membabitkan parti Islam itu.
 
"Sama ada ADUN atau Ahli Parlimen, kita diberikan surat mandat atau pun surat kebenaran untuk bertanding oleh parti iaitu watikah untuk bertanding. Dan kita diberikan mandat sebagai pemimpin yang menang dalam PRU13 oleh pengundi ataupun rakyat ataupun pengundi-pengundi parti ketika itu.
 
"Sudah tentulah pengundi-pengundi daripada PAS, PKR, DAP atau Umno dan parti-parti lain. Jadi tidak wajarlah kalau kita mengkhianati amanah ataupun undi-undi yang diberikan oleh pengundi-pengundi tersebut," katanya kepada pemberita.
 
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi GHB, Mohamad Sabu yang mencadangkan semua Ahli Parlimen dan ADUN PAS melepaskan jawatan masing-masing.
 
Mohamad atau Mat Sabu memberi alasan semua ADUN dan Ahli Parlimen PAS yang menang dalam Pilihan Raya Umum 13 adalah atas tiket ‘bersama pakatan pembangkang.’
 
“Kenapa pula Ahli Parlimen GHB yang perlu letak jawatan? Mereka (PAS) sebenarnya yang perlu berbuat demikian kerana tidak lagi bersama pakatan pembangkang,” katanya.
 
Yunus dalam pada itu mengingatkan kepada semua pemimpin GHB supaya belajar beristiqamah atas jasa PAS selama ini kepada mereka sebelum mereka dipilih dan dicalonkan untuk bertanding di atas tiket PAS.
 
"Saya ingat kalau ketika itu, GHB pun tidak wujud lagi, parti Amanah Rakyat pun tidak wujud lagi, jadi kenapa pula ADUN atau Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat hari ini perlu meletak jawatan," katanya.
 
Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman turut menyelar kenyataan Mat Sabu yang dilihat terlepas pandang dalam beberapa aspek selepas menyertai GHB.
 
"Kalau kita memecat keahlian pun tidak akan menjejaskan DUN dan Parlimen, tidak menjejaskan. Kalau kita tengok contoh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada PKR, jadi dia tidak secara automatik mengosongkan kerusi.
 
"Hujah yang mengatakan PAS yang perlu meletakkan jawatan, kita kena ingat, kita tidak bertanding di atas tiket Pakatan Rakyat, simbol yang kita bawa itu adalah simbol parti dan hujah mengatakan ya apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendesak supaya 'gentleman' letak jawatan bagi mereka yang keluar daripada parti, itu adalah kerana mereka menang di atas watikah daripada PAS.
 
"Kalau tiada watikah, tiada pun orang boleh bertanding, tiada siapa boleh bertanding guna logo PAS," katanya.
 
Beliau dalam pada itu berkata, pemimpin GHB perlu faham dan kaji semula Bai'ah yang mereka buat sebelum menyelar PAS ekoran kenyataan Presiden PAS yang meminta mereka mengosongkan kerusi sama ada Ahli Parlimen mahupun ADUN.
 
"Bai'ah adalah isu yang berasingan. Bai'ah adalah di antara dia dan parti," katanya.
 
Khairuddin dalam pada itu berkata, PAS semakin diterima oleh orang ramai sejak parti itu berpendirian tegas dalam mempertahankan prinsip perjuangannya.
 
Beliau menegaskan PAS tidak akan tergugat dengan GHB yang mahu menubuhkan Parti Amanah Rakyat tidak lama lagi.
 
"Di Kedah, 5,000 orang sahaja akan menyertai PAS. Kita menyasarkan di Selangor ini 10,000 dalam proses mengumpulkan borang-borang. Tiba-tiba ramai pula hendak jadi orang PAS sekarang ini.
 
"Tiba-tiba PAS ini dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai prinsip, keyakinan," katanya.
 
 
 

Tiada ulasan: