KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok menyambut baik siasatan ke atas kumpulan anti-Bersih, namun meluahkan rasa kesal terhadap tindakan ke atas kumpulan terbabit yang tidak dibuat lebih awal.


Sementara kumpulan berkenaan akan dirakamkanm kenyataan jam 3 petang hari ini, Kok berkata tindakan sepatutnya diambil serta merta oleh Ketua Polis Negara kerana kumpulan berkenaan secara umum menyatakan akan ‘berlatih’ menggunakan pisaupanjang dan pedang sebagai persediaan mereka untuk mempertahankan diri.

“Apa yang dinyatakan oleh (Datuk) Jamal (Yunos) secara umum itu amat mengejutkan dan hasutan dan dia sepatutnya ditahan untuk siasatan. Namun maklumbalas daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar amat mengecewakan.

“Datuk Jamal boleh katakana mereka ‘pencinta keamanan’, dan mereka tidak akan mencetuskan keganasan, tetapi adakah pihak polis boleh untuk tidak mengambilk tindakan terhadap kenyataan secara terbukanya bahawa kumpulan itu akan membawa pisau dan pedang,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Seputeh.

The Star Online semalam melaporkan, Jamal berkata terdapat latihan secara tertutup dibuat kepada ahli kumpulan anti-Bersih malam tadi (Rabu) menggunakan senjata yang dinyatakan.

Menggelarkan diri mereka ‘pencinta keamanan’, Jamal berkata, seramai 30,000 ahli kumpulan itu akan hadir pada perhimpunan Bersih 4.

Kok berkata, sebaik sahaja dia membuat kenyataan itu, polis sepatutnya menyerbu premis mereka dan merampas senjata yang didakwa digunakan oleh kumpulan itu.

“Khalid perlu tahu bahawa adalah tanggungjawabnya dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di negara ini dan beliau perlu mengambil langkah pencegahan bagi memastikan tiada sesiapa yang cuba mencetuskan keganasan,” tambahnya.

Jamal dijangka hadir di IPD Dang Wangi pada jam 3petang hari ini untuk memberi kenyataan berhubung siasatan polis ke atas kumpulan anti-Bersih.