Rabu, 12 Ogos 2015

Kes simbah asid: Warga emas didakwa

ANTARAPOS.COM


Post Pic


ALOR SETAR: Seorang warga emas berusia 65 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan sengaja mendatangkan cedera parah ke atas seorang lelaki menggunakan cecair disyaki asid di Kuala Kedah, dekat sini, bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Taib, 65, yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rusita Md Lazim.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad didakwa dengan niat sengaja mendatangkan cedera parah ke atas Khairul Izzat Mohd Zaki, 22, menggunakan bahan cecair disyaki asid iaitu suatu bahan lecur yang boleh mendatangkan kecederaan parah dan kekal.

Ahmad dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan rumah tidak bernombor di Kampung Baru Kuala Kedah, dekat sini, pada 25 Julai 2015, jam 5.15 petang.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tertuduh diwakili peguam, Lim Wei Yong dan prosiding kes dikendalikan Ayu Rohaiza Khazali.

Wei Yong dalam hujahan pembelaannya meminta mahkamah memberi jaminan minimum kepada tertuduh berikutan faktor kesihatan, malah anak guamnya itu juga masih menanggung dua anak yang masih kecil berusia tujuh tahun dan empat tahun.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: