Sabtu, 1 Ogos 2015

Kenapa kini baru DAP persoal isu hudud? Soal Tuan Ibrahim

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kenapa DAP tidak persoal agenda hudud PAS sejak dari awal penubuhan Pakatan Rakyat dan hanya berbuat demikian selepas dua kali Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan?, soal Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Justeru, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menolak sebarang dakwaan yang mengatakan Pakatan Rakyat goyah disebabkan kedegilan PAS untuk terus melaksanakan hudud di Kelantan meskipun ditentang DAP dan PKR.
 
Umum mengetahui PAS kini tidak lagi mempunyai kerjasama politik dengan DAP disebabkan perbezaan pendapat berhubung isu hudud.  
 
"PRU (Pilihan raya Umum) ke-12, waktu itu DAP tandatangan untuk bersetuju perkara yang berbeza pendapat, kenapa waktu itu kita boleh setuju? 
 
"Bagi saya ada isu lain yang perlu kita lihat dan fokus kepada benda besar, jangan serang. Dan sekarang PAS buat keputusan (putuskan hubungan dengan DAP) dan kita akan teruskan," katanya kepada Antarapos selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri PAS Selangor.
 
Tuan Ibrahim buat kesekian kalinya mengulangi, isu hudud bukan perkara baru dan DAP perlu mengakui pelaksanaan hukum tersebut amat disokong pengundi Melayu diluar sana.
 
"Saya rasa tidak sebab apa yang kita bawa benda (hudud) yang telah diterima sebelumnya, Isu hudud ini bukan baru. PAS berjuang sejak 1951 dan kita dapat sokongan rakyat pada PRU 12 dan 13. Kalau nak kata hudud kenapa masa itu rakyat sokong kita? Sebenarnya ialah pendekatan. Waktu itu kita boleh menghormati polisi masing- masing (dengan DAP-PKR), jadi rakyat sokong kita.
 
"Tapi bila kita serang parti lain kita akan berdepan dengan realiti yang kita sedang hadapi sekarang (disisihkan DAP). Saya fikir bukan hudud," ujarnya.
 
Tuan Ibrahim juga senada dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang menegaskan PAS bersedia untuk bersendirian jika terpaksa.
 
"Bagi PAS kalau mereka tolak, kita terpaksa terima hakikat bergerak sendirian. PAS pernah bersendirian tetapi bagi kita keutamaan kita pembangkang mesti muafakat dan dapat kita hasilkan kalau kita saling hormat politik polisi parti masing-masing. Selagi kita boleh hormat," katanya lagi.
 
Namun perkembangan semasa politik Pakatan Rakyat nampaknya tidak memihak kepada PAS apabila PKR seperti membayangkan akan menyokong penubuhan parti baru yang akan diasaskan Gerakan Harapan Baru (GHB).
 
GHB adalah gerakan yang wujud hasil serpihan PAS yang disertai beberapa bekas pemimpin parti itu yang kalah dalam pemilihan PAS, 4 Jun lalu.
 
GHB sebelum ini menyatakan komitmen untuk menyertai DAP dan PKR untuk menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0.
 

Tiada ulasan: