Rabu, 12 Ogos 2015

Kami sudah hilang punca'


'Kami sudah hilang punca'
Zamri (kiri) menunjukkan salinan aduan dan laporan polis yang dibuat bagi mewakili pekerja terlibat dalam masalah tunggakan bayaran gaji minimum, gagal carum KWSP dan lewat bayaran gaji oleh majikan.


KUALA TERENGGANU - Sekumpulan pekerja kontrak pembersihan di sini, kesal kerana gaji mereka tidak dicarum ke dalam KWSP sejak September tahun lalu.

Mereka juga mendakwa gaji bulanan sering dibayar lewat serta tunggakan gaji minimum belum dilunaskan majikan.

Wakil pekerja, Zamri Hashim, 48, berkata, pelbagai aduan telah dibuat kepada pihak berkaitan seperti KWSP, Perkeso, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Suhakam, SPRM dan Biro Pengaduan Awam, bagaimanapun, perkara itu
masih belum nampak tanda ke arah penyelesaian.

“Kami tak dapat sebarang maklumat melainkan dinyatakan telah menerima aduan dan siasatan sedang dijalankan.

“Apa yang menjadi masalah kini, majikan tidak mempunyai alamat tetap sedangkan berdasarkan alamat tender pembersihan sekolah yang diambil sebelum ini mereka beralamat di Jalan Pusara, Kuala Terengganu,” katanya.

Kata Zamri, disebabkan majikan tidak mempunyai alamat tetap dan nombor telefon, ia menyukarkan siasatan oleh pihak JTK, dan JTK sendiri meminta supaya pekerja kontrak yang terlibat mencari alamat mereka yang sebenar.

“Kami di pihak pekerja sudah hilang punca kerana tiada alamat majikan, malah penyelia kami sebelum ini juga telah berhenti kerja pada Mac lalu. Sekarang penyelia yang ada diwakilkan kepada penyelia dari zon Manir untuk ke sini,” katanya.

Bayaran gaji tertunggak

Zamri berkata, wang gaji mereka juga tidak dimasukkan ke dalam akuan bank, sebaliknya diberikan secara tunai oleh wakil syarikat yang datang dari Kuala Lumpur.

“Sebelum ini mereka juga yang minta kami buka buku akaun bank untuk memudahkan proses urusan gaji,” katanya.

Menurutnya, gaji terakhir yang dibayar ialah pada 13 April lalu dan masalah mengenai kelewatan pembayaran gaji ini sering berlaku.

“Biasanya gaji masuk pada tujuh hari bulan setiap bulan, tapi sering lewat malah ada sehingga 25 hari bulan baru kami dapat gaji. Pernah juga gaji kami tertunggak selama dua bulan tanpa sebarang penjelasan.

“Selain itu, gaji tertunggak iaitu gaji minimum pada 2014 pun majikan masih gagal bayar. Sebelum gaji minimum diumumkan, kami hanya terima RM800, selepas diumumkan majikan berjanji akan bayar baki lagi RM100 kepada kami. Namun, hingga kini tiada perkembangan,” katanya.

'Kami tak puas hati'

Zamri yang mula bekerja sejak 2013 berkata, di daerah ini sahaja terdapat lebih 50 pekerja yang terlibat di bawah syarikat itu dan mereka semua menerima nasib yang sama dari segi masalah pemberian gaji dan caruman KWSP.

“Ada lapan sekolah di daerah ini yang terlibat dengan kontrak pembersihan antaranya SK Seri Budiman 1, SK Seri Budiman 2, SM Padang Negara, SMA Sultan Zainal Abidin Ladang, SM Seri Budiman dan Jabatan Pendidikan Daerah Kuala Terengganu,” katanya.

Tambahnya, dia agak kesal sekiranya kontrak syarikat tersebut tamat pada 31 Disember ini, sedangkan masalah itu masih belum dapat diselesaikan yang mana melibatkan jumlah pekerja yang ramai bukan sahaja dari daerah ini malah melibatkan sekolah di daerah lain.

“Kontrak syarikat itu selama tiga tahun bermula 1 Januari 2013 dan berakhir hujung tahun ini. Kita tak kisah kalau ada masalah dalaman, cuma kami mahukan pencerahan daripada pihak majikan.

“Kalau beginilah cara kami dilayan, memang kami tak berpuas hati kerana kami juga ada hak sebagai pekerja,” katanya.
Katanya lagi, kalau tender yang diambil syarikat itu di bawah JPNT, mengapa pihak jabatan berkenaan sendiri tidak tahu alamat atau nombor telefon pengurus syarikat berkenaan.

“Itu yang kami hairan dan kami mahukan penjelasan daripada pihak yang terlibat.

“Kami tak teragak-agak untuk bawa perkara ini ke tahap yang lebih tinggi kerana ia melibatkan hak kami sebagai pekerja,” katanya.

Masih lagi siasat: JPNT

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja negeri, Mohamad Azhar Ahmad berkata, pihaknya ada menerima aduan oleh wakil pekerja mengenai perkara itu dan ia masih dalam siasatan kerana kegagalan pengadu memberi alamat sahih majikan.

“Pegawai kami telah pergi ke alamat yang diberikan di Jalan Pusara, bagaimanapun, alamat yang diberikan bukan alamat syarikat itu.

“Apa yang menjadi masalah bagi kami sekarang ialah ia didaftarkan atas nama individu dan kami terpaksa menjejaki individu terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah JPNT, Shafrudin Ali Hussin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau sedang berada di luar negara dan akan menyemak semula masalah itu sekembalinya di tanah air.


Tiada ulasan: