Isnin, 3 Ogos 2015

Kabinet baharu Kabinet 1MDB – Sanusi Junid

 
Kebanyakan Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik adalah mereka yang menentang Dr Mahathir dan mempertahankan 1MDB.


kabinet.1mdb


PETALING JAYA: Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid menyifatkan Kabinet baharu yang dipilih Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘Kabinet 1MDB’.

Katanya, Menteri dan Timbalan Menteri yang baharu dilantik oleh Perdana Menteri terdiri daripada mereka yang menentang Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik 1MDB.

“Yang jelas orang-orang yang dilantik dalam Kabinet baharu itu adalah orang-orang yang bersuara menghentam Dr Mahathir.

‘Seolah-olah Kabinet ini Kabinet 1MDB!. Kabinet untuk mempertahankan 1MDB. Kabinet untuk menutup segala usaha untuk mendedahkan 1MDB,” katanya menerusi temubual khas yang dimuatnaik dalam blog, dirturtle.blogspot.com.

Beliau turut mempertahankan kritikan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap 1MDB yang didakwa sesetengah pihak sebagai punca Muhyiddin digugurkan Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, kritikan itu bukan sebab Muhyiddin dipecat kerana apa yang diucapkan oleh Muhyiddin itu adalah perkara biasa dan tidak sensitif.

“Saya rasa apa yang Muhyiddin kata itu tidak ada yang sensitif. Apa yang Muhyiddin kata itu perkara biasa. Yang orang duk cakap hari-hari dah.

“Muhyiddin tunjukkan patutnya begini, patutnya begitu, tiba-tiba dia dipecat.

“Saya tak fikir dia dipecat kerana ucapan itu. Saya fikir ucapan itu adalah sebab terakhir. Kerana nak siapkan senarai nak lantik Kabinet baru ini makan masa,” katanya.

Sanusi turut mengkritik pelantikan empat anggota Jawantakuasa Wang Kira-Kira Negara (PAC) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri yang dianggapnya telah melumpukan siasatan terhadap 1MDB.
Katanya, tugas PAC lebih sebenarnya penting berbanding menjadi Timbalan Menteri.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik Timbalan Menteri Dalam Negeri, dan Ahli Jawatankuasa PAC, Datuk Seri Rizal Merican (Timbalan Menteri Luar ) dan Mas Emieryati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) manakala Datuk Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sanusi juga mempertikaikan penamatan tugas Tan Sri Gani Patai sebagai Peguam Negara yang dibuat secara mendadak kerana didakwa mengalami masalah kesihatan.

“Pasukan Petugas pula, sorang dah kena berhenti pasal sakit. Patutnya orang yang sakit tu minta berhenti tapi ini tidak. Orang yang dikatakan dah lama sakit ni tak minta berhenti pun, dia nak menyelesaikan tugasnya, tiba-tiba dia diberhentikan. Itu kan jadi tandatanya.

“Hasil dari penyelidikan (siasatan) ini, dah ada tangkapan … dan ada yang nak ditangkap dah lari. Rakyat tertanya-tanya, dunia pun dah tertanya-tanya. Kawan-kawan saya dari luar negeri yang duk ikut (perkembangan negara kita ) pun hairan, Kenapa orang kerana dah ada tindakan dari Pasukan Petugas …. tiba-tiba ada pemecatan,” katanya.

Tiada ulasan: