Rabu, 12 Ogos 2015

Jika RM2.6 bilion untuk dana politik, selebihnya dimana? – Ahli UMNO

 
Pengakuan Perdana Menteri bahawa RM2.6 bilion adalah dana politik sumbangan penderma telah menimbulkan lebih banyak pertanyaan yang tidak dijawab.


Shahbudin-Husin_najib_600



PETALING JAYA: Sekiranya benar RM2.6 bilion merupakan derma untuk dana politik, dimanakah baki selebihnya?, tanya Penganalisis Politik, Shahbudin Husin.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju itu berkata, adakah wang RM2.6 bilion untuk sudah habis dibelanjakan atau jika berbaki, kenapa Datuk Seri Najib Tun Razak masih menyimpan dan tidak segera dipulangkan kepada parti.

Katanya, jika Perdana Menteri meletak jawatan atau usianya tidak panjang, siapakah yang akan mewarisi baki wang derma itu.

“Kalau wang itu sudah habis pula, sejak menerimanya pada 2013, tentu saja Najib layak tercatat dalam rekod dunia sekali lagi dengan kemampuan berbelanja yang begitu luar biasa sekali,” katanya menerusi blognya.

Shahbudin berkata, derma RM2.6 bilion bukan saja menjadi topik perbualan bahkan mempopularkan Najib di seluruh dunia dalam sekelip mata.

“Popularnya Najib ketika ini sehingga masyarakat seolah-olah tidak lagi menyebut beliau sebagai anak Tun Razak yang sederhana dan berintergriti, tetapi lebih sebagai “raja duit” yang banyak wang dengan tiba-tiba.

“Sepertimana kata Tun Dr Mahathir Mohamad, Barack Obama sebagai manusia paling berkuasa pun tidak pernah menerima derma sebesar itu dan keyakinan penderma menyumbang sejumlah itu menjadikan Najib penerima derma paling bertuah dan dipercayai sekali di dunia ini,” katanya.

Tiada ulasan: