Khamis, 27 Ogos 2015

Jawatan hanya sementara, kata Zahid

Radzi Razak


 


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak menjejaskan parti itu walaupun selepas kehilangan jawatan mereka kerana menurutnya, semua jawatan berbentuk sementara.

Walaupun beliau tidak menyebut sebarang nama, namun seluruh ucapannya menyentuh tentang perbezaan pendapat dalam Umno, yang diketuai oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas beliau digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri bulan lepas.

Zahid menegaskan bahawa semua jawatan berbentuk sementara, sambil berkata walaupun telah berkhidmat kepada parti itu selama 40 tahun, tetapi jangan biarkan sehari hujan menyelubungi setahun hari-hari yang baik.

Beliau menegaskan demikian ketika merasmi mesyuarat perwakilan Umno bahagian Putrajaya malam tadi. Turut hadir Setiausaha Agung Umno yang juga ketua Umno bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga ahli Parlimen Putrajaya.

Muhyiddin sebelum ini membidas ahli-ahli parti yang menggesa supaya beliau meletak jawatannya serta melabelkan beliau sebagai pengkhianat.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau telah banyak menyumbang kepada parti itu selama lebih 40 tahun menjadi ahli, termasuk membina semula Umno Johor selepas Umno diisytiharkan haram pada tahun 1988.

Muhyiddin lantang mengkritik Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung kemelut 1MDB.
Sementara itu, Bernama melaporkan Zahid berkata masalah yang dihadapi Umno sama ada dalam organisasi atau kepimpinan adalah lumrah bagi mana-mana parti politik yang dinamik.

Beliau yang juga naib presiden Umno, bagaimanapun berkata cabaran berkenaan mampu ditangani parti keramat orang Melayu itu jika ia didasari dengan semangat ketaatan dan kesetiaan.

"Walaupun pemimpin datang dan pergi, ketaatan, kesetiaan sesiapa pun yang memimpin Umno tetap utuh sebagai parti orang Melayu," katanya ketika merasmikanmesyuarat perwakilan Umno bahagian Putrajaya malam tadi.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata putaran hayat politik Umno boleh dilihat sejak 1988 apabila parti itu diharamkan sehingga lahir parti Semangat 46 yang merupakan serpihan Umno.

Parti PAS turut menghadapi masalah sama apabila ia kini berpecah sehingga lahir satu parti baru dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), katanya.

Ahmad Zahid berkata adalah lumrah untuk seorang pemimpin diuji bagi melihat sejauh mana tahap daya saing, daya tahan serta daya juang mereka.

"Pemimpin diuji dan kini presiden Umno sedang diuji. Ujian pernah dilalui pemimpin lain dalam bentuk berbeza," katanya.

Beliau berkata tidak salah untuk anggota Umno mempunyai perbezaan pendapat, namun ia perlu diraikan dengan penuh kebijaksanaan dan ketertiban bukannya secara semborono.

Ahmad Zahid berkata jawatan dalam parti tidak kekal dan hanya bersifat sementara, namun pemimpin yang dipilih seharusnya menggalas tanggungjawab serta kepercayaan yang diberikan untuk menyandang jawatan tertentu.

"Saya yakin keberadaan dalam posisi sama ada cawangan atau bahagian, negeri apatah lagi nasional adalah merupakan jawatan berbentuk sementara.

"Kita semua ahli Umno harus beristiqamah kepada suatu harakah atau gerakan yang ia merupakan keseimbangan dalam perjuangan," kata Ahmad Zahid.

Naib Presiden Umno itu berkata bahawa 'kumpulan suara minoriti' boleh menguasai 'majoriti senyap' kerana mereka mempunyai sistem komunikasi yang cukup sistematik sehingga pembohongan dianggap sebagai kebenaran.

"Kita sebagai pemimpin dan ahli Umno tidak boleh lagi hidup dalam zon selesa sebaliknya harus keluar daripada zon itu.

"Situasi politik (sekarang) adalah berbeza dengan situasi satu dekad atau 10 tahun yang lalu, mungkin berbeza dengan sewaktu Umno diasaskan," katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan kerusi Parlimen Putrajaya perlu dipertahankan Barisan Nasional (BN) pada masa-masa akan datang kerana kegagalan berbuat demikian merupakan manifestasi kepada tumbangnya Umno dan BN.

"Namun, keyakinan saya amat kental dengan gandingan kepimpinan Tengku Adnan", katanya.- Bernama

Tiada ulasan: