Selasa, 25 Ogos 2015

Jangan perbodohkan rakyat, titah Sultan Johor

Jangan perbodohkan rakyat, titah Sultan Johor


SHAH ALAM - "Rakyat pada hari ini adalah generasi yang berilmu dan bijak menilai maklumat yang diterima, janganlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memberikan berita dan maklumat yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar."

Demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.

Menurut baginda, beliau amat peka dengan rintihan dan keluhan suara hati rakyatnya.

"Suasana politik dan ekonomi negara yang berada dalam keadaan yang tidak stabil pada masa ini merupakan isu utama yang perlu ditangani oleh kerajaan dengan segera," titahnya.

Walaupun kedudukan baginda sebagai Sultan menghalang baginda untuk mencampuri urusan politik, tetapi baginda juga bertanggungjawab untuk memastikan suasana kehidupan rakyat di negeri Johor berada dalam keadaan yang baik, maju dan makmur.

"Saya mengesa kepada pihak kerajaan yang memerintah supaya segera menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi sekarang ini, antaranya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk.

"Suka juga saya ingatkan kepada pemimpin-pemimpin kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat supaya memikul tanggungjawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan janganlah mengutamakan kepentingan peribadi," titah baginda.

"Selesaikanlah masalah-masalah yang timbul dengan segera," tegas baginda lagi.

Tiada ulasan: