Khamis, 27 Ogos 2015

Hormat perjuangan Muhyiddin, Shafie

Syed Ali Alhabshee
Syed Ali Al-Habshee


SHAH ALAM - Ketua Umno  Bahagian Cheras,Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, peranan  Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menguatkan perjuangan parti perlu dihormati oleh semua pihak dalam Umno.

Syed Ali berkata, sebagaimana ahli parti  menghormati dan menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno, maka Timbalan Presiden juga sepatutnya berada di tempat yang sama demi kepentingan parti.

Oleh itu, ujarnya bagi memperkasakan halatuju perjuangan Umno, beliau mengingatkan semua pihak dalam parti perlu berganding bahu dan bergerak dalam satu pasukan yang jitu.

“Sekarang bukan lagi masanya untuk kita saling curiga-mencurigai antara satu sama lain,” katanya menerusi catatan terbaharu blognya,  Umno Cheras.

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Syed Ali berkata dalam konteks Umno, kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dihormati kerana kedudukannya diputuskan oleh ahli-ahli parti.

"Walaupun Muhyiddin dan Shafie tidak lagi berada dalam kabinet tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh memberikan sumbangan kepada parti.

“Oleh itu, peranan mereka tidak boleh dihalang jika kita ingin menguatkan Umno terutama untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak daripada kalangan ahli Umno  yang sengaja mencetuskan suasana tidak tenteram dengan melaga-lagakan sesama pemimpin.

Disamping  mengingatkan, pihak lawan (pembangkang) sememangnya mahu melihat keretakan  dan kriris kepimpinan berlaku dalam  Umno.

Dalam pada itu, Syed Ali menegaskan Umno sekarang ini terdedah kepada ancaman daripada pembangkang dan kumpulan anti-kerajaan yang memperhebatkan gerakan secara terancang untuk menjatuhkan kerajaan BN.

“Setiap hari mereka menyerang Umno dan BN menerusi laman-laman sosial bagi menanam persepsi negatif rakyat terhadap pentadbiran Najib,” ujarnya.

Sehubungan itu tegas beliau, adalah sesuatu yang malang jika sesama pemimpin Umno  terus bergeseran sesama sendiri sehingga menjejaskan agenda perjuangan parti.

“Melihat kepada senario sekarang, waima apa pun yang berlaku, kita (ahli-ahli Umno) perlu bersatu padu, kuatkan barisan dan kekalkan permufakatan bagi memastikan Umno tidak goyah,” tegasnya.


Tiada ulasan: