Isnin, 31 Ogos 2015

GHB umum parti baharu hari ini



Timbalan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Salahuddin Ayub berkata, mereka masih tidak dapat memastikan nama yang akan digunakan parti baharu kerana ia hanya akan diputuskan dalam mesyuarat GHB yang berlangsung pagi ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Ogos, 2015.Timbalan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Salahuddin Ayub berkata, mereka masih tidak dapat memastikan nama yang akan digunakan parti baharu kerana ia hanya akan diputuskan dalam mesyuarat GHB yang berlangsung pagi ini. – Gambar fail The Malaysian Insider,
 
 
 
Gerakan Harapan Baru (GHB) akan mengumumkan parti baharu pukul 3 petang hari ini sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 16 September ini sempena Hari Malaysia. 
 
 "Walaupun namanya bukan parti Islam selepas permohonan itu ditolak oleh kerajaan, kami akan umumkan hari ini parti baharu kami," kata Timbalan Pengerusi GHB Salahuddin Ayub kepada The Malaysian Insider.
 
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan apakah nama yang akan digunakan parti baharu ini kerana ia hanya akan diputuskan dalam mesyuarat GHB yang berlangsung pagi ini.

Sebelum ini, GHB memutuskan namanya adalah Parti Amanah Rakyat atau singkatannya Amanah. Mereka akan mengambil alih sebuah parti politik sedia ada namun ia bukan parti Kita setelah pemegang jawatan parti berkenaan menolaknya dengan membuat laporan polis.
 
Dua hari lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penolakan permohonan untuk mendaftarkan Parti Progresif Islam.
 
Zahid berkata, ini kerana nama agama termasuk Islam tidak dibenarkan lagi digunakan kepada mana-mana parti politik kerana Islam untuk semua bukan untuk parti tertentu sahaja.
 
Berbeza dengan penubuhan parti serpihan PAS sebelum ini, Hamim dan Berjasa, parti baharu yang dirancang oleh GHB ini akan bersama pembangkang bukannya kerajaan yang memerintah negara.
 
Proses penubuhan parti baharu ini juga dilihat lebih tersusun kerana membentuk jawatankuasa melalui GHB di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak terlebih dahulu sebelum penubuhan parti.
 
GHB kini mempunyai penyelaras di semua peringkat negeri mahupun kawasan Parlimen di seluruh negara. 
 
Ia terdiri daripada pemimpin PAS sebelum ini yang sudah meletakkan jawatan.


Tiada ulasan: