KUALA LUMPUR, Harapan Baru (GHB) perlu meneroka identiti tersendiri dan juga tidak boleh membawa DNA Pas sekiranya benar-benar ingin menonjolkan wadah politik baru kepada rakyat.


Penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, bagi memastikan apa yang ingin ditawarkan kepada rakyat itu bersesuaian dengan namanya iaitu Harapan Baru maka apa yang paling penting untuk dilakukan ialah menonjolkan muka dan barisan hadapan yang baru.

Menurutnya, sekiranya parti berkenaan masih mengekalkan muka atau tokoh-tokoh yang sedia ada maka tidak ada apa yang baru mengenainya melainkan sebuah parti politik serpihan daripada Pas.

“Mereka perlu melihat kepada aspek yang lebih besar serta melibatkan aktivis, ahli akademik, ahli sukan, artis, anak-anak muda dan golongan terpinggir yang ingin bersama gagasan Islam yang lebih inklusif yang mereka bawa.

“Kalau benar mereka boleh ke arah berkenaan maka benarlah parti berkenaan boleh membawa harapan baru tetapi kalau asyik nak bawa bekas pemimpin dan penyokong Pas, ia masih lagi wajah politik lama dan tidak apa yang baru mengenainya,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, baru-baru ini.

Tambah Maszlee, GHB juga perlu belajar dan mengambil pengajaran corak tertentu dalam sejarah negara yang dilihat tidak berubah sekalipun masa kian berlalu.

Jelasnya, adalah penting bagi GHB tidak mengulangi trend dan corak yang dilakukan oleh parti serpihan Pas yang terdahulu iaitu Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan Islah

Katanya, formula GHB perlulah lebih segar dan perlu membina kekuatan dan corak politik tersendiri bagi memastikan ia akan mendapat sokongan rakyat.

“Sebaliknya kalau dia mengulangi formula yang sama dilakukan oleh keempat-empat parti serpihan berkenaan maka sejarah yang sama akan menimpa GHB.

“Oleh itu tokoh-tokoh GHB perlu menelaah apakah yang corak dan formula yang menyebabkan keempat-empat parti terdahulu tenggelam dan akhirnya berkubur begitu sahaha.

“Sekiranya gagal maka GHB akan melengkapkan dan menambahkan lagi bilangan parti serpihan Pas yang kecundang dalam arena politik tanah air,” ujarnya.