Sabtu, 1 Ogos 2015

GHB jangan dekati ahli PAS kalau ikhlas sertai Pakatan Rakyat 2.0 [TONTON VIDEO]

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad memberi amaran kepada kepimpinan Gerakan Harapan Baru (GHB) agar tidak mendekati mana-mana pemimpin atau ahli PAS.
 
Malah katanya, GHB tidak perlu memujuk ahli PAS untuk menyertai gerakan itu dan seharusnya mencari ahli lain untuk mengukuhkan kedudukan pembangkang di negara ini.
 
"Kalau GHB betul-betul ikhlas untuk memperkukuhkan pembangkang jangan fokus kepada ahli PAS, tetapi fokus kepada ahli UMNO dan ahli atas pagar.
 
"Sebab UMNO-BN sekarang ini berpecah, inilah masanya untuk kita memperkukuhkan pembangkang. Malangnya terjadi macam sekarang (penubuhan GHB) ini amat malang sekali," katanya dalam Majlis Rumah Terbuka PAS Selangor malam tadi.
 
Iskandar sebelum ini berkata penubuhan GHB hanyalah menguntungkan UMNO-BN dan bukannya PAS.
 
Jelas beliau, landskap politik GHB adalah untuk mengukuhkan kedudukan gerakan berkenaan di kalangan ahli PAS dan bukannya mensasarkan ahli UMNO-BN.
 
Sehingga hari ini, kepimpinan PAS Pusat masih berteka teki mengenai pendirian parti berkenaan terhadap GHB yang ditubuhkan oleh kumpulan progresif PAS setelah tewas pada pemilihan peringkat pusat di Muktamar PAS awal Jun lalu.
 
"Kita kena bincang kemudian sebab kita pun belum bincang dengan DAP-PKR tentang isu ini. Jadi benda ini perlu dibincangkan secara terperinci bukan kita ambil perkara itu berdasarkan kepada kenyataan pemimpin lepas itu terus kita buat keputusan, tidak boleh atau kita buat andaian," katanya lagi.
 
PAS ujar Iskandar perlu meneliti dan berbincang dengan lebih teliti mengenai GHB sebelum membuat apa-apa keputusan yang akan merugikan parti berkenaan kelak.
 
"Saya melihat bahawa kita (PAS) kena bincang secara teratur, duduk dan berbincang," ujarnya.
 
Presiden PAS, Datuk Hadi Awang semalam memberi amaran kepada semua ahli-ahli parti, terutama para pemimpinnya, untuk menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh GHB.
 
"Saya melihat bahawa dalam (memecat atau menggantung keahlian) adalah berdasarkan kepada perlembagaan ada menyatakan kalau sesiapa yang menyertai parti baru maka keahlian akan lucut secara automatik. Itu pasti. 
 
"Kalau nak menubuhkan parti baru boleh rujuk kepada Lembaga Displin. Itu memang ada dalam perlembagaan parti. Bukan sesuatu yang baru.
 
"Kalau kita (ahli PAS) berbuat sesuatu yang bertentangan atau merosakkan parti tidak kira lah GHB atau apa parti pun, boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Displin bukan sahaja GHB, sesiapa sahaja," kata Iskandar mengenai kenyataan Hadi semalam.
 
Hadi dalam ucapannya pada program Ihtifal Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman berkata tindakan yang berat boleh dikenakan terhadap mana-mana ahli terutama ahli-ahli Parlimen PAS dan ADUN negeri, yang ingkar arahan parti supaya tidak terlibat dengan aktiviti GHB.
 
Malah Hadi turut menyifatkan penglibatan mereka akan memberikan impak negatif terhadap parti kerana gerakan berkenaan tidak ada kena mengena dengan PAS.
 
Untuk itu, PAS akan memantau pergerakan dan aktiviti pemimpin mereka di setiap negeri dan sekiranya didapati terlibat, mereka boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Displin parti yang mana boleh dipecat atau digantung keahliannya.
 
 
 

Tiada ulasan: