Selasa, 25 Ogos 2015

EGM Majlis Peguam bincang isu derma Najib

MALAYSIAKINI
 


Majlis Peguam memanggil sebuah mesyuarat agung luar biasa (EGM) membincangkan dakwaan gangguan ketara dalam siasatan kes derma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas badan itu Jumaat lalu.

Dalam makluman kepada peguam-peguam, EGM itu ditetapkan pada 12 September tetapi tempat dan butiran lanjut agenda belum dimaklumkan buat masa ini.

“Perkara untuk dibincangkan dalam EGM termasuk laporan-laporan campur tangan dalam siasatan yang sedang berlangsung dalam isu aliran dana daripada SRC International Sdn Bhd (bekas anak syarikat 1MDB) dan perpindahan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi perdana menteri...

“...dan juga langkah-langkah yang patut diambil Majlis Peguam untuk memperkukuh dan menjunjung kedaulatan undang-undang, dan untuk mengelakkan pentadbiran keadilan daripada menjadi sumbang,” menurut makluman itu.

Kes itu sebelum ini disiasat oleh pasukan khas empat agensi penguatkuasaan utama, termasuk polis, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara dan Jabatan Peguam Negara.

Ia bagaimanapun tidak lagi diteruskan selepas berlaku pertukaran peguam negara.

Majlis Peguam pada 17 Ogos lalu berkata tidak akan mengambil bahagian dalam jawatankuasa yang dicadang kerajaan bagi menyelia pembiayaan politik.

Presidennya Steven Thiru (atas) berkata apa-apa perbincangan mengenai undang-undang baru perlu menunggu selesainya siasatan yang sedang berjalan terhadap pemindahan dana 1MDB.

Dakwanya, sesuatu sumbangan derma dalam akaun bank peribadi Najib, masih dalam definisi "suapan" bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tiada ulasan: