Khamis, 27 Ogos 2015

Bersih kutuk sekatan Internet terhadap maklumat himpunan minggu ini

Jawatankuasa tertinggi Bersih pada sidang media memberi maklumat terkini berkenaan himpunan Bersih 4 di Petaling Jaya, hari ini. Mereka mengutuk sekatan Internet oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang disifatkan menidakkan hak rakyat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 27 Ogos, 2015.Jawatankuasa tertinggi Bersih pada sidang media memberi maklumat terkini berkenaan himpunan Bersih 4 di Petaling Jaya, hari ini. Mereka mengutuk sekatan Internet oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang disifatkan menidakkan hak rakyat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal. 
 
 
Bersih 2.0 secara rasmi mengkritik rancangan pengawal selia Internet Malaysia untuk menyekat laman sesawang yang mempunyai maklumat mengenai perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu ini, menggelarnya satu tindakan "penjajahan".
 
Kumpulan reformasi pilihan raya itu juga menggesa orang ramai menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dikatakan sama seperti penapisan.
 
Ahli Jawatankuasa Bersih, New Sin New berkata SKMM tidak mempunyai sebarang hak menyekat laman sesawang dan Bersih tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap suruhanjaya itu jika ia tidak mengubah keputusannya.

"Sebagai rakyat Malaysia kita berhak mendapat maklumat, jadi sila emel atau menulis surat kepada mereka dan beritahu yang mereka tidak mempunyai hak menyekat semua akses," kata New. 
 
"Bagaimana maklumat mengenai Bersih 4 akan mengancam ketenteraman awam? Mereka perlu membuktikannya jika kita membawanya ke mahkamah," soal New dan menggesa orang ramai mengemukakan aduan mereka terhadap SKMM kepada penganjur perhimpunan itu juga.
 
SKMM hari ini mengumumkan rancangan menyekat laman sesawang mempromosi dan berkongsi maklumat mengenai perhimpunan 29 dan 30 Ogos yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
 
SKMM berkata, keputusan dibuat untuk menyekat laman sesawang "menggalakkan, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai untuk menyertai demonstrasi Bersih 4 ", yang akan "mengancam kestabilan negara".
 
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah juga mengkritik SKMM, berkata ia sepatutnya menggalakkan kebebasan penyebaran maklumat.
 
"Kami membantah kuat larangan itu," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
 
Penyelaras Sumber Bersih 2.0 Dr Wong Chin Huat berkata, langkah SKMM "seperti badan penjajah kepada kaum yang dijajah" yang menghantar isyarat salah kepada ekonomi Malaysia.

"Aliran kebebasan maklumat merupakan prasyarat sebuah ekonomi moden untuk beroperasi. Malaysia bukan China, yang begitu besar sehingga mampu menekan medianya sendiri.

"Apa yang anda akan haramkan seterusnya, ini mencipta sesuatu yang tidak baik," kata Wong, sambil menambah rakyat perlu dibenarkan mengakses kepada maklumat dan membuat keputusan sendiri selepas mendapat maklumat secukupnya

Tiada ulasan: