Rabu, 5 Ogos 2015

Azmin: SPRM wajib halang 'ganguan haram'‎

Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
 
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib menggunakan kuasanya dalam undang-undang untuk menghalang 'gangguan haram'.
 
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, SPRM perlu memastikan siasatan 1MDB berjalan seperti yang sepatutnya.
 
"Di bawah Seksyen 48 Akta SPRM, ia adalah satu kesalahan jenayah bagi sesiapa sahaja untuk menghalang siasatan oleh SPRM.
 
"Perbuatan pihak polis merupakan gangguan dan mesti dihentikan," katanya menerusi blog beliau, hari ini.
 
Menurut beliau, SPRM mesti dibenarkan untuk melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut.
 
"Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang waras, parti-parti politik  dan semua ahli masyarakat sivil untuk berdiri teguh di belakang SPRM bagi membolehkan mereka untuk melaksanakan tugas mereka.
 
"Ini adalah amat penting untuk memulihkan kredibiliti siasatan 1MDB," kata beliau lagi.
 
"Sejak pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan penyingkiran secara tiba-tiba Peguam Negara minggu lepas, kita telah menyaksikan peristiwa demi peristiwa yang jelas menunjukkan sebuah konspirasi untuk meneutralkan siasatan 1MDB.
 
"Kedua-dua Pasukan Petugas Khas 1MDB dan PAC nampak seperti terhenti," jelas Azmin.
 
Azmin juga memberitahu bahawa siasatan 1MDB tidak harus dilihat umpama 'pemburuan'  tetapi sebagai sebahagian daripada proses undang-undang di negara ini.
 
"Ini adalah amat penting untuk memulihkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi dan sistem kewangan," akhiri beliau.
 
2 Ogos lepas, Pejabat Timbalan Pendakwa Raya SPRM dilaporkan diserbu sepasukan polis‎.
 
 

Tiada ulasan: