Rabu, 12 Ogos 2015

Anina: Ahli Umno sokong saya, tepuk tangan

MALAYSIAKINI


 


Walaupun difahamkan pihak atasan memberi arahan supaya jangan memberi reaksi positif, perwakilan Wanita Umno Langkawi, Anina Saaduddin berkata, ucapannya yang mengkritik Datuk Seri Najib Razak masih mendapat tepukan.

“Semasa saya berucap, perwakilan masih tepuk tangan dan saya anggap (ia) positif. Mereka takut (untuk bercakap sendiri). Apabila ada orang yang nak bercakap bagi pihak mereka, ahli Umno ini datang berjumpa saya dan mengucapkan tahniah serta terima kasih," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Anina, beliau mengakui sebelum ini agak lantang menyuarakan pandangan mengenai isu Umno terutama melalui media sosial.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan dia dipantau.

Sebagai salah seorang perwakilan, saya anggap mereka (pihak atasan Umno) sedia maklum kalau saya datang ke mesyuarat, saya akan bersuara,” katanya.

Dalam mesyuarat bahagian itu pada Sabtu lalu, keadaan menjadi gamat apabila Anina memberikan ucapan keras dengan mendakwa anggota Umno telah ditipu Najib.

Malahan, rakaman video memaparkan ucapan Anina juga tersebar luas di alam maya.

Kata Anina, ada sumber tertentu memberitahunya, ketua-ketua wanita Umno Langkawi diarahkan untuk memberitahu semua perwakilan supaya menahan diri daripada memberikan sokongan apabila beliau berucap.

Tidak boleh ditegur

Wanita berusia 40 tahun itu juga memang menjangkakan arahan seperti itu akan dikeluarkan kepadanya memandangkan sebelum ini beliau lantang bersuara mengkritik kepimpinan Najib.

Kata Anina lagi, mesyuarat Umno bahagian adalah saluran terbaik untuknya melontarkan teguran kepada Najib kerana beliau telah memendam perasaan yang lama.

Kata Anina, dia sedar sebagai ahli Umno, mereka terikat dengan keperluan memberi sokongan penuh kepada presiden walau apa pun yang berlaku.

Mengulas lanjut, Anina berkata, ia bukan perkara sihat untuk parti itu dan seseorang presiden boleh ditegur jika melakukan kesilapan.

LIHAT VIDEO DI SINI


Bagaimanapun, kata Anina, Najib pemimpin yang tidak boleh ditegur kerana tetap mahu mempertahankan kedudukannya selepas dibelenggu dengan kesilapan sendiri.

“Ya, (Najib) tidak boleh ditegur dalam konteks mempertahankan kedudukan dia. Ini dalam konteks mempertahankan kedudukan dia. Dalam konteks beliau diasak dengan pelbagai kesalahan dia sendiri,” katanya.

Anina turut turut menolak andaian menjatuhkan Umno sebaliknya menegur Najib yang dilihatnya sebagai menyalahgunakan amanah rakyat yang telah diberikan kepadanya.

“Ramai orang sayang Umno. Saya bercakap juga kerana saya sayangkan Umno, cuma ketika ini keyakinan rakyat terhakis kerana sikap pemimpin yang tidak telus, banyak benda yang tersembunyi, penerangan tidak dibuat dengan betul,” katanya. 


Tiada ulasan: