KOTA BAHARU, Pemantauan terhadap 172 institusi pengajian Islam berteraskan pondok di negara ini mendapati mereka tidak terlibat dengan kegiatan ekstremisme mahupun militan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) membuat pemantauan itu selepas terdapat ancaman Kumpulan Islamic State (IS) turut menyasarkan Malaysia untuk melaksanakan agenda mereka.

Katanya dari eksperimen dan penyelidikan yang dibuat mendapati keganasan tidak timbul di kalangan mereka yang mendalami agama malah Islam sendiri tidak pernah ajar keganasan.

“Jika dilihat tradisi dan tabii ekstrimis bukannya daripada golongan orang yang belajar agama..Islam tidak pernah ajar halalkan keganasan kerana ianya terpesong dari ajaran Islam sebenar.

“Islam adalah agama sejahtera..tradisi keilmuan sebenar tidak akan terjebak dengan keganasan ataupun elemen yang terpesong,” katanya.

Menurutnya, melihat sejarah kumpulan militan di negara ini, kumpulan seperti Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) atau Al Mau’nah terdiri golongan profesional seperti Nordin Mat Top dan Dr Azhari yang bukan berkelulusan dalam bidang berkaitan agama Islam.

Manakala jika dilihat di peringkat global, Osama Ben Laden sendiri adalah lulusan kejuruteraan selain Ayman Al Zawahiri adalah doktor perubatan.

“Secara tradisi, golongan agama memang tidak terbabit dengan ekstrimis atau keganasan. Islam sentiasa tekankan Wasatiyah iaitu tidak condong ke kiri atau ke kanan.

“Islam tidak galakkan ekstrimisme, fanatik ataupun keganasan selain tidak akan membiarkan agama diperalatkan dalam aspek pluralisme, liberalisme yang akhirnya merosakkan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Multaqa Guru-Guru sekolah Pondok Zon Timur 2015 di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM15.67 juta kepada 72 institusi pendidikan Islam berteraskan pondok di pantai timur.

Sumbangan berkenaan merupakan agihan peruntukan RM25 juta kepada sekolah-sekolah pondok yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2015 Oktober tahun lepas.