JOHOR BAHRU,Mahkamah majistret hari ini menjatuhkan hukuman denda RM100 kepada 13 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) setiap seorang, kerana didapati bersalah mencetuskan kekecohan pada perlawanan Liga Super Malaysia, minggu lalu.


Terdahulu, pertuduhan itu dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret, Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Tiga belas tertuduh itu kemudiannya mengaku bersalah, terbabit dalam mencetuskan kekecohan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, di Larkin, pada Rabu malam lalu, selepas JDT menundukkan Perak 4-1.

Kekecohan bermula, apabila seorang lelaki melepaskan tembakan suar, ketika penonton keluar dari stadium, selepas tamat perlawanan.

Polis segera menahan lelaki itu dan mengarahkan penyokong supaya bersurai, namun arahan itu tidak diendahkan.

Malah, ada yang mula membaling botol air dan batu ke arah polis.