Khamis, 16 Julai 2015

Wang RM2 juta masuk akaun peribadi, dari mana, untuk apa?

hdr

Roketkini.com

 
IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diminta menyiasat dari mana sumber dan apa tujuan wang tunai sejumlah RM2 juta yang didakwa telah dimasukkan ke dalam akaun bank bernombor 100020000058 yang dikenalpasti milik seorang yang bernama “Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)”.

Dalam satu laporan kepada SPRM di sini hari ini, Setiausaha Sosialis Muda DAP (DAPSY) Perak, Howard Lee berkata, setakat ini tiada penafian daripada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang mana namanya dikaitkan dengan wang itu, seperti mana yang dilaporkan oleh media.

Katanya, rakyat mahu tahu dari mana sumber wang itu, dan sama ada wang yang diterima itu bersifat upah atau bayaran untuk sesuatu perkhidmatan, atau apa-apa barangan.

“Adakah cukai dibayar, atau dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi transaksi tersebut, jikalau ia adalah suatu transaksi perniagaan?

“Siapakah yang membuat bayaran itu jikalau bukan individu bernama ‘Roslan Bin Sohari’ seperti yang dilaporkan; dan sama ada pihak SPRM telah memanggil  beliau untuk temubual siasatan bagi mengenalpasti sumber asal RM2 juta  tunai itu?

“Mengapakah wang sebesar itu dimasukkan secara tunai dan secara berperingkat? Apakah tujuan bagi taktik sebegitu?” soal beliau dalam satu sidang akhbar selepas membuat laporan kepada SPRM.

Menurut Howard yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji, rakyat berhak mengetahui jawapan tentang persoalan-persoalan tersebut kerana ia melibatkan nama baik negara.

Katanya, SPRM bertanggungjawab mengumumkan hasil siasatan bagi membersihkan nama Rosmah dan imej negara, atau jika ada salahlaku, untuk mengambil tindakan undang-undang yang tegas. – Roketkini.com


Tiada ulasan: