KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak mengeluarkan apa-apa pemberitahuan mengenai perubahan harga bahan api kepada orang ramai.
  
Presidennya Datuk N. Marimuthu berkata, ini untuk mengelakkan pengguna berada dalam keadaan tidak bersedia dan pengumuman awal membolehkan mereka merancang perbelanjaan bulanan mereka dengan lebih baik.
  
"Kami berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk meneruskan amalan membuat pengumuman rasmi mengenai harga bahan api baharu sebelum hari pertama dalam bulan baharu daripada hanya dimaklumkan di stesen-stesen minyak," katanya kepada Bernama.
  
Marimuthu berkata, Fomca a‎kan mengemukakan petisyen mengenai perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan esok.
  
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, mulai sekarang, tiada lagi pengumuman awal mengenai harga baharu petrol dan diesel setiap bulan dan notis demikian hanya akan dikeluarkan kepada peruncit pada tengah malam pada hari terakhir setiap bulan.
      
Hasan berkata ini akan dilakukan tanpa mengambil kira sama ada harga berubah atau tidak.
  
Ia juga disebabkan oleh hakikat bahawa ini telah menjadi urusan rutin susulan pelaksanaan sistem apungan terurus untuk harga petrol RON95 dan diesel mulai 1 Disember tahun lepas. Harga petrol RON97 adalah tertakluk kepada harga pasaran.

Harga RON95 bagi Julai ditetapkan pada RM2.15 seliter, naik 10 sen daripada  Jun, manakala harga RON97 ialah RM2.55 seliter, naik 20 sen mulai bulan lepas dan harga minyak diesel tidak berubah pada RM2.05 seliter. - Bernama