Jumaat, 31 Julai 2015

TIDAK SALAH TERIMA WANG, AYUH MENTERI UMNO...KAUTLAH SELAGI BOLEH!!

shahbudindotcom


 
 
Jika ada yang berasa gembira dan lega dengan pengguguran Hasan Malek daripada kabinet, harap simpan dulu perasaan tersebut kerana nampaknya "kebebalan" dan "kedunguan" mungkin bertambah dahsyat di kalangan sesetengah menteri yang baru dilantik ini.

Hanya selepas dua tiga hari dilantik semula sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri setelah digugurkan pada 2009 dulu, Azalina Othman Said muncul yang pertama, bukan saja menunjukkan ciri-ciri pengganti kepada Hasan Malek, malah tahapnya nampak lebih kronik lagi.

Azalina ternyata sudah mula  mengidap penyakit "ampu dan bodek tahap empat" sehingga sanggup memberi pandangan di luar kewarasan pertimbangan akal dan menghumban jauh ilmu serta pelajaran yang diterimanya selama ini.

Asalkan dapat ampu dan bodek, semua perkara yang lain ditolak ke tepi dan boleh dilanggar begitu saja. 

Mengulas mengenai isu wang RM2.6 bilion yang didakwa mengalir masuk ke dalam akaun Najib yang dipercayai menjadi antara punca Muhyiddin Yassin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Azalina antara lain berkata:-

-  wang sejumlah itu bukanlah suatu isu besar kerana ia adalah budi bicara orang yang memberi duit itu.

- tiada salahnya seseorang menerima pemberian sebesar RM2.6 bilion asalkan mendapat kebenaran penerima dan tidak menafikan hak mereka yang patut menerimanya.

- kalau orang derma duit pada saya suruh jaga anda semua dan simpan atas nama saya, itu hubungan saya dengan penderma...apa salahnya?

Jika kita hayati hujah-hujah Azalina ini, tentulah ia tiada bezanya dengan banyak kenyataan Hasan Malek sebelum ini yang antaranya,  "oleh kerana ayam naik harga, jangan makan ayam" dan  "disebabkan kurang rungutan yang diterima kementerian, ini menunjukkan rakyat berpuas hati dengan GST dan kenaikan harga minyak".

Hello Azalina...cubalah guna akal sikit  dan fikiradaripada manakah datangnya duit sebanyak itu? Bukankah The Wall Street Journal mendakwa ia berpunca daripada 1MDB? Kalau wang itu daripada 1MDB yang berhutang sebanyak RM42 bilion, tidakkah ia merupakan wang kita semua?

Kalau pun ada seseorang yang  sanggup beri wang sebanyak RM2.6 bilion kepada ketua sebuah kerajaan, apakah ia percuma atau derma kosong saja? Tentu ada balasan yang diharapkan? Apa balasannya? Jual tanah? Jual maruah? Atau jual negara?

Kalau seseorang itu bukan Perdana Menteri atau ketua kerajaan, adakah sesiapa teringin mahu memberinya wang sebesar itu?

Mengatakan tidak salah bagi seseorang pemimpin menerima wang dan ia hanya urusan antara penderma dan penerima, tidak syak lagi betapa malangnya kita mempunyai pemimpin sebegini rupa. Tiada apa-apa yang rakyat boleh harapkan daripada specis seperti ini.

Ia memberi gambaran bahawa jika mengikut tafsiran Azalina itu bermakna para menteri dan pemimpin kerajaan boleh mengaut seberapa banyak wang sekali pun dan tiada sesiapa berhak mempersoalkan daripada mana wang itu diperolehi.

Adakah orang sanggup memberi wang dengan percuma dan tidak mengharapkan apa-apa balasan? Kalau begitu, tutup saja SPRM dan bakulsampahkan terus undang-undang rasuah. Pasukan petugas khas yang sedang menyiasat wang itu dan kaitannya dengan Najib juga patut dibubarkan saja.

Jangankan pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat dan terdedah kepada unsur rasuah dan kemungkinan menjual kepentingan negara apabila menerima wang sebesar itu harus dipersoalkan, bahkan ibu bapa sendiri akan menyoal jika anak mereka tiba-tiba pulang ke rumah dengan membawa dua tiga buntil wang bersamanya.

Apabila kita membawa sejumlah wang tunai ke bank untuk membuka akaun, katalah jumlahnya RM500 ribu, pihak bank juga pasti akan menanyakan beberapa soalan mengenai wang itu.

Lebih dari itu, Bank Negara sendiri mensyaratkan pemindahan wang melebihi jumlah RM50 juta juga mesti mendapat kebenaran dan kelulusannya.

Lebih diragui jika penerima wang itu berstatus ketua kerajaan kerana ia mungkin berkaitan rasuah, wang haram dan sebagainya.

Jadi, di mana logiknya pemindahan sejumlah RM2.6 bilion adalah perkara biasa dan  hanya persoalan antara penderima dan penerima saja, manakala kita sebagai rakyat dikatakan tidak berhak sama sekali mengetahuinya?

Dengan kenyataan awal Azalina itu, bukan saja keputusan melantiknya semula sebagai menteri suatu kesilapan setelah mengenepikan Hasan Malek, malah membuatkan barisan kabinet ini menunjukkan kecenderungan yang semakin jauh dari denyut nadi rakyat terbanyak. 

Kesalahan yang dilakukan oleh ketua bukannya mahu diperbetulkan atau ditegur, malah disokong dan diberi rangsangan lagi.
 
 

Tiada ulasan: