Rabu, 29 Julai 2015

Tiada rombakan Exco di Selangor, kata Azmin

Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
 
 
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menegaskan meskipun pentadbiran negeri berdepan krisis, namun rombakan Exco tidak akan berlaku.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengekalkan komposisi barisan Exco yang terdiri daripada  empat PKR, tiga Pas dan tiga DAP seperti sedia ada.

“Tidak ada... tidak ada kemungkinan barisan Exco dirombak. Komposisi itu akan kekal, tiada perubahan,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Invest Selangor 2015, di sini, hari ini.

Terdahulu hanya 13 daripada 15 Adun Pas menyatakan pendirian untuk kekal bersama Pas dan menyokong penuh kerajaan negeri manakala dua lagi Adun memutuskan menyertai Harapan Baru.

Sementara itu, mengulas khabar angin kononnya Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) yang bercadang mengambil alih parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) sebagai alternatif kepada Pas, Azmin enggan melayan spekulasi berkenaan.

“Saya ada baca berita itu tetapi bukan posisi saya untuk komen perkara berkenaan, adalah lebih baik dapatkan pengesahan daripada kepimpinan Harapan Baru  sendiri.

“Jangan buat spekulasi kerana saya tidak tahu perkara itu benar atau tidak. Perlu dapatkan pengesahan daripada Harapan Baru,” katanya.

Azmin tidak menolak kemungkinan pada masa depan parti muafakat dalam PR akan bertambah daripada tiga parti sahaja kepada lima atau enam gerakan di dalamnya.

“Pendirian PKR jelas mana-mana pihak yang bersedia untuk mendukung agenda reformasi, kita boleh bersama-sama dalam satu muafakat yang sebelum ini bermula dengan Barisan Alternatif, selepas pilihan raya 2008 ada PR kerana perkara ini akan terus berkembang.

“Sekarang ini kita ada tiga parti, mungkin lepas ini kita ada lima atau enam asalkan mereka komited terhadap reformasi,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan parti Kita diterima masuk dalam PR, Azmin berkata, beliau tidak pasti kerana belum jelas mengenai polisi baharu parti berkenaan.

“Saya tidak pasti kerana ia bergantung... kita perlu tahu polisi baru parti baharu itu. Adakah mereka sedia bekerjasama dan terima polisi sedia ada PR? Perkara ini perlu dibincang,” katanya.

Beliau turut menolak laporan yang memaklumkan Pas sedia memutuskan hubungan dengan PKR sekiranya sekutunya itu memilih untuk menyertai gabungan pembangkang baharu bersama DAP dan Harapan Baru.

“Kita (PKR) tidak dimaklumkan oleh Pas berhubung keputusan ini. Itu hanya laporan akhbar pro Umno berkenaan.

“Ya walaupun itu kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din tetapi ia dilaporkan akhbar itu. Jadi usah percaya,” katanya.


Tiada ulasan: