KUCHINGAkhbar The Edge diberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), berhubung laporannya mengenai syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah menghantar surat tunjuk sebab, pada Isnin lalu.

“Saya sudah katakan sebelum ini, sekarang mereka diberi tempoh tujuh hari untuk maklum balas,” katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Polis Sarawak di Masjid Al Mujahidin, Kompleks Kuarters Polis, hari ini.

Rabu lalu, Ahmad Zahid berkata, pemilik kumpulan media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong perlu bertanggungjawab terhadap laporan tidak tepat berhubung 1MDB yang mengatakan ia telah disahkan sebelum disiarkan.

Ahmad Zahid berkata, laman web Sarawak Report menjadi sumber maklumat palsu mengenai 1MDB yang kemudiannya dilaporkan The Edge.